Pelancong India diarah keluar resort selepas didakwa langgar peraturan

Iklan
Mereka diminta segera meninggalkan lokasi.- Foto: The Thaiger.

SONGKHLA – Sebuah resort perkhemahan tepi pantai di wilayah selatan Thailand mengarahkan sekumpulan pelancong dari India meninggalkan premis itu selepas didakwa mencetuskan pertikaian dengan kakitangan dan melanggar beberapa peraturan yang ditetapkan.

Pengurusan resort berkenaan menyifatkan insiden itu sebagai pengalaman paling buruk sepanjang lebih lima tahun mereka beroperasi.

Iklan
Iklan

Menerusi hantaran di Facebook yang dimuat naik pada 12 Jun lalu, pihak resort mendakwa kumpulan pelancong terbabit meminta untuk mendaftar masuk seawal jam 8 pagi waktu tempatan tanpa dikenakan bayaran daftar masuk awal.

Menurut resort itu, kumpulan berkenaan telah membuat tempahan tiga khemah yang hanya boleh menempatkan dua tetamu setiap satu, dengan kapasiti keseluruhan enam orang.

Iklan

Bagaimanapun, pihak pengurusan mendakwa sembilan individu cuba menginap menggunakan tempahan sama tanpa mahu membayar caj tambahan bagi lebihan penghuni.

Selain itu, mereka turut didakwa meminta pelbagai kemudahan tambahan tanpa bayaran, memohon pengecualian terhadap polisi sedia ada serta enggan mematuhi peraturan yang telah dimaklumkan sebelum ketibaan.

Iklan

Resort tersebut turut mendakwa kumpulan itu membawa masuk sejumlah besar minuman beralkohol walaupun telah dimaklumkan bahawa minuman dari luar tidak dibenarkan di premis berkenaan.

Menurut kenyataan itu, keadaan menjadi tegang apabila kakitangan menjelaskan mengenai caj tambahan dan peraturan resort.

Pihak resort mendakwa pelancong terbabit bertindak kasar dan agresif, termasuk memarahi pekerja secara lisan.

Seorang kakitangan wanita dilaporkan menangis selepas berdepan herdikan dan kritikan daripada kumpulan tersebut.

Bagi mengelakkan pertikaian menjadi lebih buruk, pihak pengurusan memutuskan untuk memulangkan semula keseluruhan bayaran tempahan sebelum meminta mereka meninggalkan resort dengan segera.

Namun, resort itu mendakwa isu berkenaan tidak berakhir di situ apabila kumpulan tersebut kemudiannya menuntut jumlah bayaran balik yang lebih tinggi daripada nilai sebenar tempahan.

Menurut pengurusan, kadar penginapan bagi resort itu ialah 700 baht (RM87) semalam, namun pelancong terbabit didakwa menuntut bayaran balik melebihi jumlah yang telah dibayar.

Pihak resort berkata, mereka mengemukakan rekod tempahan serta bukti pembayaran daripada platform tempahan bagi mengesahkan jumlah sebenar sebelum memulangkan wang mengikut amaun yang diterima.

Dalam kenyataannya, resort tersebut menegaskan bahawa mereka telah menerima tetamu daripada pelbagai negara dan latar belakang sepanjang tempoh operasinya, justeru isu yang berlaku tidak berkaitan dengan kewarganegaraan mana-mana pihak.

Sebaliknya, pengurusan menegaskan pertikaian itu berpunca daripada tingkah laku segelintir tetamu yang didakwa tidak menghormati kakitangan serta peraturan premis.

"Tiada penyedia penginapan yang sepatutnya dipaksa bertolak ansur dengan penghinaan terhadap pekerja, cubaan melebihi kapasiti penginapan tanpa bayaran, pengabaian terhadap peraturan atau dakwaan pembayaran yang tidak tepat," menurut kenyataan itu.

Pihak resort turut menggesa pengusaha hotel dan penginapan supaya menyimpan rekod lengkap berkaitan tempahan, pembayaran dan komunikasi dengan pelanggan bagi memudahkan penyelesaian sekiranya berlaku pertikaian pada masa depan.

Mereka turut menitipkan pesanan kepada semua pelancong agar sentiasa menghormati kakitangan, menjaga harta benda premis dan mematuhi peraturan yang ditetapkan sepanjang menginap.-Agensi