KOTA KINABALU – Perpaduan perlu terus dipupuk dan diperkukuhkan bagi memastikan keharmonian negara dapat dipertahankan dalam sebuah masyarakat yang terdiri daripada pelbagai kaum, agama, budaya dan wilayah.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata, pembinaan negara bangsa tidak berlaku dengan sendiri, sebaliknya memerlukan kebijaksanaan serta wawasan seperti yang ditunjukkan oleh pemimpin terdahulu termasuk Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj bersama tokoh-tokoh dari Sabah dan Sarawak yang memainkan peranan dalam pembentukan Malaysia.
"Perpaduan itu suatu kemestian berlaku di sebuah negara tanpa memupuk semangat dan menghalang ikhtiar lain yang memecah-belahkan.
"Bayangkan dengan negara yang sifatnya sedikit sebanyak seperti kita; pelbagai kaum, pelbagai suku, pelbagai agama, pelbagai wilayah. Tidak semuanya dapat mempertahankan kesatuan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Minggu Perpaduan Peringkat Kebangsaan Tahun 2026 di perkarangan Kompleks Sukan Likas, di sini, pada Sabtu. Turut hadir Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang.
Anwar berkata, tokoh-tokoh pengasas negara mempunyai jiwa dan wawasan besar untuk melihat masa depan negara bangsa meskipun datang daripada latar belakang kaum, suku dan wilayah yang berbeza.
"Bolehkah kita pertahankan dengan hasutan kepentingan daerah dan wilayah dan suku kaum dan kaum? Apakah salah kita bangkitkan permasalahan suku kaum? Tidak salah. Tetapi untuk menanam bibit kebencian, tidak menghormati, ini yang menjadi puncanya," ujarnya.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan rakyat supaya terus memelihara semangat saling menghormati dan memahami kepelbagaian yang wujud dalam masyarakat, selain tidak membiarkan sentimen yang boleh memecah-belahkan rakyat menjejaskan perpaduan negara.
Dalam pada itu, Anwar turut mengumumkan beberapa inisiatif bagi memperkukuh penghayatan dan pembudayaan Rukun Negara dalam kalangan generasi muda menerusi penyediaan geran kepada institusi pendidikan di seluruh negara.
Beliau berkata, kerajaan akan menyediakan geran aktiviti sebanyak RM10,000 kepada 189 Sekretariat Rukun Negara (SRN) di institusi pengajian tinggi bagi melaksanakan program kenegaraan, patriotisme dan perpaduan dalam kalangan mahasiswa.
Selain itu, katanya, geran RM5,000 turut disediakan kepada 6,849 Kelab Rukun Negara (KRN) di sekolah-sekolah seluruh negara bagi menghidupkan amalan serta penghayatan prinsip-prinsip Rukun Negara sejak di bangku persekolahan.
Dalam pada itu, Anwar berkata, kerajaan akan mempertimbangkan penyediaan Geran Padanan berjumlah RM5 juta menerusi Belanjawan 2027 bagi menghidupkan semula 10 Memorial Negarawan di seluruh negara, selain mempercepatkan pendigitalan khazanah sejarah negara dan pelaksanaan pameran interaktif di lokasi tumpuan awam.
Pada masa sama, beliau berkata, Kerajaan Madani menerusi Institut Integriti Malaysia (IIM) telah memperkenalkan Strategi Pembudayaan Integriti Nasional (National Integrity Enculturation Strategy - NIES) sebagai inisiatif strategik yang lebih menyeluruh, progresif, sistematik dan berterusan dalam memperkukuh budaya integriti dalam segenap lapisan masyarakat.
Platform perkukuh keharmonian masyarakat
Sementara itu, Aaron berkata, Sambutan Minggu Perpaduan terus menjadi platform penting dalam memperkukuh keharmonian masyarakat berbilang kaum di negara ini, apabila penganjurannya kini memasuki edisi keempat dengan pendekatan lebih tersusun dan berskala nasional.
Beliau berkata, penganjuran pada tahun ini telah dipertingkatkan melalui pendekatan berfokuskan zon yang dilaksanakan bermula April lalu, melibatkan lima zon utama iaitu Zon Utara, Zon Tengah, Zon Selatan, Zon Timur dan Zon Sarawak.
"Sepanjang sambutan Minggu Perpaduan Peringkat Kebangsaan itu juga terdapat lebih 40 aktiviti utama diadakan.
"Hasilnya dapat dilihat dengan jelas melalui Indeks Perpaduan Nasional (IPNas) 2025, apabila perpaduan rakyat Malaysia terus menunjukkan peningkatan dengan skor 0.701, iaitu yang tertinggi dalam tempoh tujuh tahun.
"Peningkatan ini menunjukkan trend konsisten sejak 2018, apabila indeks merekodkan 0.567, meningkat kepada 0.629 pada 2022, dan seterusnya 0.701 pada 2025, sekali gus melepasi paras sederhana tinggi serta mencapai sasaran di bawah Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12)," katanya.
Pelbagai program bermanfaat,didik rakyat hayati perpaduan
Sambutan Minggu Perpaduan (SMP) 2026 yang berlangsung selama empat hari bermula 11 hingga 14 Jun di Likas berjaya menghimpunkan masyarakat pelbagai kaum, agama dan budaya menerusi pelbagai aktiviti berteraskan semangat perpaduan dan integrasi nasional.
Program utama di bawah Flagship Kembara Perpaduan bertemakan 'Bersama Membina Negara Bangsa' itu memberi peluang kepada rakyat menghayati nilai perpaduan secara langsung selain memperkukuh jati diri dan semangat kebersamaan.
Sambutan yang dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu telah melebihi jumlah sasaran pengunjung yang ditetapkan iaitu seramai 284,448 orang.
Antara pengisian yang mendapat perhatian pengunjung ialah Pameran RUMAH KAMI (Rumah Etnik) yang menghimpunkan 15 etnik di Malaysia.
Selain itu, Perkampungan Etnik turut mencuri tumpuan dengan pelbagai aktiviti seni, warisan dan kebudayaan seperti tarian, demonstrasi pakaian dan makanan tradisional. Kedua-dua pameran ini dilaksanakan bagi memberi pendedahan kepada rakyat mengenai identiti, pakaian adat, seni muzik, dan adat resam pelbagai komuniti di Malaysia.
Sementara itu, Larian Bersama Membina Negara Bangsa pula menerima penyertaan yang sangat menggalakan iaitu seramai 15,000 orang peserta. Turut diadakan ialah Pameran Membina Negara Bangsa serta Pameran Raja Kita: Kesetiaan Kepada Raja dan Negara.
Reaksi
“Antara permainan yang diperkenalkan ialah galah atau kayu panjang yang lazim dimainkan ketika pesta dan majlis keramaian masyarakat Dusun Tumbonuo.
"Hari ini kami bawa ke sini kerana tidak ramai tahu etnik ini dan juga alat permainan tradisi yang ada pada kami.” - Ratni Dalle, 47.
“Pengalaman mengunjungi rumah budaya membuka perspektif baharu mengenai kepelbagaian masyarakat Malaysia. Bagi saya ini pengalaman baharu dan amat menyeronokkan.” - Robby Estrada Sodomon, 44, dari Kampung Sorob, Kota Belud.
“Platform seperti ini mampu menjadi medan mencungkil bakat baharu dalam industri e-sukan yang semakin berkembang. Dengan adanya program ini, bakat-bakat baharu dapat dikenal pasti melalui pertandingan yang diadakan sepanjang Minggu Perpaduan.” -Peserta e-sukan, Gasran Gelik, 30.