The Keris kongsi kisah sejarah, persilatan Melayu - Matheyalagan

Iklan
Matheyalagan (tiga dari kiri) bersama barisan pelakon yang menjayakan filem The Keris.

KEINGINAN untuk menerokai keunikan sejarah tanah air dan kebangkitan rakyat mendorong seorang penerbit menghasilkan filem epik yang mengangkat martabat seni mempertahankan diri orang Melayu, biarpun dirinya berbeza bangsa dan agama.

Penerbit filem The Keris, Dr T Matheyalagan berkata, karya tersebut bukan sekadar hiburan, sebaliknya menjadi medium untuk menyampaikan mesej kebangkitan semangat, khususnya dalam mempertahankan warisan persilatan yang menjadi identiti bangsa Melayu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, idea menghasilkan filem The Keris yang berlatarkan sejarah dan seni mempertahankan diri itu lahir daripada pengalaman hidupnya yang dibesarkan dalam persekitaran masyarakat berbilang kaum, khususnya bersama rakan-rakan sejak di bangku sekolah.

“Bagi saya, tiada beza antara saya dengan mereka. Walaupun saya berbangsa India, kawan-kawan saya ramai dalam kalangan orang Melayu sejak kecil lagi. Apa yang mengeratkan kami ialah perpaduan dan persahabatan.

Iklan

“Sebab itu saya gembira dapat menghasilkan karya seperti ini walaupun saya bukan Melayu. Saya mahu seni persilatan ini terus subur. Sayang jika dibiarkan begitu sahaja. Sebab itu saya menghasilkan karya ini dan berharap semua masyarakat tanpa mengira Melayu, Cina, India atau kaum lain menontonnya kerana terdapat nilai persahabatan yang boleh dijadikan pengajaran,” katanya ketika pelancaran filem tersebut di sini baru-baru ini.

Sanusi turut memegang salah satu watak dalam The Keris.

Iklan

Tambahnya, elemen perpaduan turut diterapkan secara jelas dalam filem berkenaan apabila barisan pelakonnya terdiri daripada pelbagai kaum meskipun majoritinya orang Melayu.

Katanya, filem itu membawa mesej bahawa keharmonian masyarakat berbilang kaum merupakan kekuatan utama Malaysia yang wajar terus dipelihara.

Anak jati Kedah itu menyifatkan dirinya sangat beruntung apabila Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, bersetuju membuat penampilan khas dengan membawakan salah satu watak menerusi filem tersebut yang bakal menemui penonton pada 2 Julai nanti.

Menurutnya, pemilihan Muhammad Sanusi dibuat berdasarkan personaliti beliau yang disifatkan memiliki aura kepimpinan serta karakter seorang panglima.

“Saya kagum, beliau membaca skrip kira-kira tiga muka surat dalam tempoh singkat sebelum terus menghafal dialog.

“Lebih mengejutkan, hanya satu ‘take’ sudah memadai. Penyampaian suara dan aksi bersahaja beliau sangat lancar,” katanya.