Insiden Penjara Taiping: Seorang anggota dituduh, 5 berdepan tindakan tatatertib

Iklan
Insiden serangan terhadap lebih 100 tahanan di Penjara Taiping pada Januari tahun lalu yang mengorbankan seorang penghuni penjara. Foto hiasan

SHAH ALAM - Seorang anggota penjara telah dituduh di mahkamah, manakala lima kakitangan sedang berdepan dengan prosiding tindakan tatatertib berhubung insiden serangan terhadap lebih 100 tahanan di Penjara Taiping pada Januari tahun lalu yang mengorbankan seorang penghuni penjara.

Jabatan Penjara Malaysia memaklumkan, berhubung insiden pada 17 Januari 2025, pihaknya telah memberikan kerjasama penuh kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan siasatan dapat dijalankan secara bebas, telus dan menyeluruh.

Iklan
Iklan

"Hasil siasatan tersebut telah membawa kepada pertuduhan terhadap seorang anggota penjara di bawah Seksyen 304(b) Kanun Keseksaan.

Tambah kenyataan itu, tindakan ini mencerminkan komitmen berterusan jabatan dalam menegakkan prinsip akauntabiliti, integriti dan kedaulatan undang-undang.

Iklan

Jelas kenyataan itu, jabatan tidak akan melindungi atau berkompromi dengan mana-mana individu yang didapati melanggar undang-undang atau peraturan perkhidmatan tanpa mengira pangkat atau jawatan.

"Jabatan Penjara Malaysia mengamalkan dasar toleransi sifar terhadap sebarang bentuk salah laku, penyalahgunaan kuasa atau pelanggaran undang-undang dalam perkhidmatan.

Iklan

"Sehubungan itu, setiap aduan atau dakwaan yang diterima akan disiasat dan diteliti sewajarnya, manakala tindakan yang bersesuaian akan diambil terhadap mana-mana pegawai atau kakitangan yang didapati melakukan kesalahan," kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, pada masa yang sama, jabatan menghormati sepenuhnya proses siasatan dan prosiding perundangan yang sedang berjalan serta akan terus memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa tanpa menjejaskan proses tersebut.

"Jabatan juga ingin menegaskan bahawa pengurusan dan layanan terhadap penghuni penjara sentiasa dilaksanakan berdasarkan kerangka perundangan yang berkuat kuasa, termasuk Akta Penjara 1995 [Akta 537] dan Peraturan-Peraturan Penjara 2000," kata kenyataan itu.

Sebelum ini, media melaporkan lebih 100 tahanan di Penjara Taiping diserang kira-kira 60 warden ketika proses pemindahan dari Dewan B ke Blok E pada Januari 2025. Seorang tahanan, Gan Chin Eng, maut dalam insiden itu.

Dalam pada itu, jabatan turut menegaskan bahawa komitmen ini menjadi asas kepada pengoperasian institusi penjara di seluruh negara dalam memastikan aspek keselamatan, kebajikan dan pengurusan prospek dilaksanakan secara profesional, berintegriti dan berperikemanusiaan.

"Jabatan Penjara Malaysia melalui Kementerian Dalam Negeri komited meneruskan agenda pemodenan infrastruktur penjara termasuk perancangan pembinaan kompleks penjara baharu bagi menggantikan institusi yang telah uzur dan tidak lagi memenuhi keperluan semasa," katanya.

Penjara Taiping yang kini berusia 146 tahun dan berstatus Bangunan Warisan Kebangsaan merupakan antara institusi yang telah lama dikenal pasti memerlukan penggantian.

"Pembinaan fasiliti baharu yang lebih moden, selamat dan kondusif adalah penting bagi meningkatkan kecekapan pengurusan institusi, memperkukuh aspek keselamatan serta memelihara kebajikan prospek dan pegawai penjara.

"Jabatan Penjara Malaysia akan terus melaksanakan penambahbaikan dari semasa ke semasa dan kekal komited memperkukuh keyakinan awam terhadap sistem koreksional negara melalui tadbir urus yang telus, profesional dan berintegriti," ujarnya.