KUANTAN - Isu kelewatan penyerahan rumah Projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) Kampung Lebu di sini sedang diselesaikan apabila projek berkenaan kini berada di peringkat akhir bagi mendapatkan Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC).
Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Pahang, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, projek tersebut sudah mencapai tahap 100 peratus siap dari segi pembinaan termasuk kerja-kerja infrastruktur asas.
Menurut beliau, penyerahan milikan masih belum dapat dilaksanakan kerana projek itu kini berada di peringkat akhir bagi mendapatkan CCC yang merupakan syarat wajib sebelum rumah boleh diduduki secara sah.
“Saya mengambil maklum aduan dan amat memahami keresahan serta tekanan yang dihadapi oleh para pembeli yang telah menunggu sekian lama untuk memiliki kediaman masing-masing.
“Sehubungan itu, satu sesi perbincangan bersama Majlis Perbandaran Bentong akan diadakan dalam masa terdekat bagi menyelesaikan baki ulasan teknikal serta mendapatkan sokongan akhir untuk memuktamadkan CCC tersebut,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Terdahulu, tular luahan kecewa pembeli menerusi akaun mikalamasiku di media sosial yang mendedahkan projek tersebut telah dikategorikan sebagai ‘projek sakit’ selama lebih empat tahun, selain proses dokumentasi yang berlarutan sehingga menjejaskan emosi para pembeli.
Mengulas lanjut, Mohammad Fakhruddin berkata, Kerajaan Negeri melalui Lembaga Perumahan dan Hartanah Pahang (LPHP) bersama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sedang memantau rapat perkembangan projek itu menerusi mesyuarat penyelarasan berkala dan jawatankuasa khas projek sakit serta terbengkalai.
Jelasnya, beberapa kerja baik pulih turut dilaksanakan termasuk penggantian bumbung ‘metal deck’, penyelesaian isu kebocoran serta penambahbaikan sistem paip dalaman.
Dalam pada itu, beliau berkata, sesi libat urus turut diadakan bersama wakil pembeli dan institusi kewangan bagi membantu mengurangkan beban kewangan pembeli.
“Saya ingin memberi jaminan bahawa perkara ini tidak dipandang ringan.
“Antara alternatif yang ditawarkan ialah penjadualan semula ansuran, pengurangan bayaran bulanan serta kemudahan moratorium tertakluk kepada kelulusan pihak bank masing-masing,” ujarnya.
Mohammad Fakhruddin memaklumkan pihaknya terus memantau secara dekat dan mendesak semua pihak yang terlibat agar mempercepatkan proses mendapatkan CCC mengikut peraturan yang ditetapkan.
“Semoga segala usaha ini dapat memberi kelegaan kepada para pembeli yang terlibat,” katanya.