PENYERTAAN beberapa tokoh politik dan profesional berprofil tinggi ke dalam Pas berpotensi mengubah landskap persaingan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan yang dijangka menjadi medan ujian penting sebelum Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Perkembangan terbaharu itu menyaksikan bekas Exco Negeri Sembilan, Datuk Dr Mohamad Rafie Abdul Malek yang mengumumkan penyertaannya selepas meninggalkan Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Mohamad Rafie yang pernah mewakili Dewan Undangan Negeri (DUN) Ampangan menyifatkan parti pimpinan Tan Sri Abdul Hadi Awang itu sebagai parti terbaik ketika ini berdasarkan pemerhatiannya terhadap perjuangan dan hala tuju parti tersebut
Selain Mohamad Rafie, Pas turut menerima kemasukan kira-kira 15 tokoh lain termasuk bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim; bekas Exco Perak, Datuk Hamidah Othman serta beberapa bekas pemimpin UMNO, PKR dan Amanah.
Negeri Sembilan berpotensi menerima impak lebih besar kerana beberapa tokoh yang menyertai Pas mempunyai jaringan akar umbi dan pengalaman pentadbiran di negeri itu.
Justeru, kehadiran Mohamad Rafie misalnya boleh membantu Pas menembusi kelompok pengundi sederhana dan profesional yang sebelum ini lebih cenderung kepada PKR atau Pakatan Harapan (PH).
Di Johor pula, kemasukan tokoh nasional seperti Zaid memberi nilai tambah dari segi persepsi dan naratif bahawa Pas kini cuba menampilkan imej lebih inklusif dengan membuka ruang kepada golongan profesional, teknokrat dan bekas pemimpin pelbagai parti.
Namun persoalan utama ialah sejauh mana penyertaan tokoh-tokoh ini mampu diterjemahkan kepada undi dan dalam politik Malaysia, kemasukan individu berprofil tinggi sering memberi impak kepada momentum dan persepsi.
Namun kemenangan sesebuah parti tetap bergantung kepada kekuatan jentera, calon tempatan serta sentimen semasa pengundi.
Oleh yang demikian, PRN Johor dan Negeri Sembilan bakal menjadi ukuran sama ada strategi Pas menarik tokoh berpengaruh mampu menghasilkan gelombang baharu atau sekadar mencipta nilai publisiti menjelang PRU16.