SUNGAI PETANI - Tempoh reman terhadap dua lelaki yang terbabit dalam kemalangan maut di Bandar Laguna Merbok di sini Khamis lalu, disambung selama tiga hari lagi bagi membantu siasatan.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, siasatan terhadap kedua-dua lelaki itu iaitu pemandu kereta berusia 37 tahun dan penumpang hadapan berusia 35 tahun masih diteruskan.
Dalam kejadian kira-kira jam 7 malam itu, sebuah kereta jenis Nissan Grand Livina yang dinaiki kedua-dua lelaki terbabit dipercayai berlanggar dengan sebuah motosikal Honda sehingga mengakibatkan penunggangnya, seorang warga emas meninggal dunia.
Hanyan dalam kenyataan sebelum ini berkata, kedua-dua lelaki berkenaan telah ditahan sejurus selepas kejadian dan hasil ujian saringan awal mendapati mereka positif dadah.
Beliau berkata, pemeriksaan lanjut terhadap kenderaan turut menemukan satu objek menyerupai pistol.
"Semasa kemalangan, orang awam yang membuat kandungan siaran langsung telah menjumpai objek menyerupai pistol dalam kenderaan terbabit.
"Penemuan itu membolehkan kita menjalankan siasatan lanjut bagi menentukan sama ada objek berkenaan adalah senjata api tulen atau sebaliknya," katanya.
Menurut Hanyan, semakan seterusnya mendapati pemandu kereta mempunyai 16 rekod lampau berkaitan narkotik dan satu rekod jenayah manakala seorang lagi mempunyai tujuh rekod lampau membabitkan kes narkotik.
Kes disiasat mengikut Seksyen 36 Akta Senjata Api 1960, Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan Seksyen 44(1) APJ 1987.