SANAA - Seorang pengembara berani mati diberi julukan 'Spider-Man Yemen' maut selepas terjatuh ke dalam kawah gunung berapi ketika cuba memanjat permukaan batu yang curam tanpa menggunakan peralatan keselamatan
Al-Qaqa Ibn Antar, 30, sedang memanjat dinding curam gunung berapi Hardah Dam di wilayah selatan Dhale apabila dia dipercayai hilang cengkaman lalu terhumban ke dalam kawah sedalam 120 meter (m) pada Jumaat lalu.
Klip berdurasi 10 saat turut menunjukkan Antar membuat aksi berbahaya seperti watak adiwira Marvel tersebut sebelum tragedi itu berlaku.
Pasukan penyelamat termasuk pakar menyelam dikerahkan untuk mengeluarkan mayat Antar yang ditemui pada kedalaman 30m di bawah permukaan air.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) selama empat jam itu disifatkan sebagai rumit kerana bentuk muka bumi lokasi berkenaan.
Hardah Dam yang juga dikenali sebagai Haradhat Damt merupakan kawah gunung berapi unik kerana mempunyai dinding batu yang curam serta tasik sulfur panas di dasarnya.
Antar terkenal di platform media sosial kerana sering memuat naik video aksi berisiko tinggi yang memaparkan dirinya memanjat kawasan berbatu paling mencabar di Sanaa.
Video-videonya turut menjadi tular termasuk satu rakaman yang menunjukkan dia bergantung di tepi tebing dengan kaki tergantung di udara tanpa sebarang peralatan keselamatan. - Agensi