MOSCOW - Presiden Suruhanjaya Eropah Ursula von der Leyen pada Isnin menyambut baik perjanjian yang dicapai antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran, lapor Sputnik/RIA Novosti.
"Saya mengalu-alukan perjanjian yang dicapai antara AS dan Iran susulan usaha diplomatik berterusan oleh beberapa pihak. Keutamaan kini ialah pelaksanaan segera dan sepenuhnya oleh semua pihak.
"Perjanjian ini seharusnya membolehkan pembukaan semula Selat Hormuz dengan segera. Kebebasan pelayaran mesti dipulihkan tanpa sekatan. Ini penting bagi kestabilan serantau dan ekonomi global,” tulis von der Leyen di platform X.
Selain itu, ketua suruhanjaya itu mengingatkan bahawa blok berkenaan menggesa semua pihak supaya"menghormati kedaulatan dan integriti wilayah Lubnan serta melaksanakan gencatan senjata yang tulen.”
Sementara itu, Presiden Majlis Eropah, Antonio Costa berkata Kesatuan Eropah (EU) mengalu-alukan perjanjian yang dicapai antara AS dan Iran serta memuji usaha diplomatik yang membawa kepada persetujuan itu.
"Saya mengalu-alukan perjanjian yang baru diumumkan antara Washington dan Teheran.
"Saya berharap perang yang memakan kos besar ini akan berakhir dan kebebasan pelayaran di Selat Hormuz dipulihkan sepenuhnya. Saya memuji usaha diplomatik tanpa henti oleh semua pihak yang menjayakan perjanjian ini,” tulis Costa di platform X. - Bernama