[VIDEO] Gelombang tidak lagi milik PN sepenuhnya - Mahdzir

Iklan

PADANG TERAP - UMNO Kedah melihat keyakinan Perikatan Nasional (PN) untuk menyapu bersih kesemua 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan 15 kerusi Parlimen di negeri ini pada pilihan raya akan datang sebagai pandangan yang perlu dinilai berdasarkan realiti politik semasa.

Pengerusinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, gelombang sokongan yang dinikmati PN ketika Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan Pilihan Raya Negeri (PRN) 2023 tidak semestinya kekal sepenuhnya selepas lebih tiga tahun setengah mentadbir negeri itu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, walaupun mengakui PN berada pada kedudukan yang kukuh ketika itu, landskap politik kini telah berubah dan sokongan rakyat tidak boleh dianggap milik mana-mana pihak secara mutlak.

“Pada waktu itu, saya akui gelombang memang memihak kepada mereka. UMNO ketika itu berdepan kesukaran untuk mendapatkan sokongan rakyat.

Iklan

“Tetapi selepas tiga tahun setengah, bukan semua gelombang itu milik mereka. Bukan semua ombak itu ada pada mereka. Bagilah sedikit kepada orang lain juga,” katanya pada pada sidang akhbar selepas ditemui pada Majlis Perasmian Durian@Prospek Pedu 4.0 di sini pada Isnin.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Pengerusi PN Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor melahirkan keyakinan bahawa PN mampu menyapu bersih kesemua 36 kerusi DUN dan 15 kerusi Parlimen di Kedah pada PRU16.

Iklan

Datuk Seri Mahdzir Khalid

Mahdzir bagaimanapun enggan mengulas panjang mengenai kenyataan berkenaan dan menyifatkan ia sebagai gaya politik Sanusi yang sudah diketahui ramai.

“Memang perangai Menteri Besar macam itu. Bukan perkara baharu. Dari mula jadi Menteri Besar sampai sekarang, cara dia bercakap masih sama.

“Ada perkara yang tersurat dan ada yang tersirat dalam kenyataannya. Kadang-kadang dia ada lapik, kadang-kadang dia cakap terus sahaja. Jadi kita dengar dan buat analisis sendiri,” ujarnya.

Pada Sabtu, Sinar Harian melaporkan Muhammad Sanusi yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas berkata, keyakinan itu bersandarkan kepada kekuatan sokongan rakyat serta kesiapsiagaan jentera parti yang sentiasa bersedia menghadapi pilihan raya pada bila-bila masa.

Menurut Sanusi, PN yang kini menguasai 33 daripada 36 kerusi DUN di Kedah yakin mampu menambah baki kerusi yang masih berada di tangan pihak lawan.

Beliau turut mendakwa DAP akan kehilangan kerusi DUN Kota Darul Aman, manakala PN berupaya merampas kerusi DUN Sidam dan Bakar Arang selain optimis menawan kerusi Parlimen Sungai Petani pada pilihan raya akan datang.