AS setuju lepaskan AS$12 bilion aset beku Iran

Iklan
Kedua-dua negara dijangka memeterai perjanjian damai pada Jumaat. FOTO: Ilustrasi AI-Agensi.

ZURICH – Amerika Syarikat (AS) dilaporkan bersetuju untuk melepaskan AS$12 bilion (RM48 bilion) aset Iran yang dibekukan sebelum rundingan damai antara kedua-dua negara bermula, menurut laporan media Iran yang memetik dokumen memorandum persefahaman (MoU) 14 perkara.

Agensi berita Mehr melaporkan dokumen berkenaan memperuntukkan sebanyak AS$24 bilion (RM97 bilion) aset Iran yang dibekukan di luar negara akan dibuka dalam tempoh 60 hari rundingan selepas MoU itu dimeterai.

Iklan
Iklan

Separuh daripada jumlah itu dikatakan perlu disalurkan kepada Iran sebelum rundingan rasmi bermula.

Majlis penandatanganan perjanjian tersebut dijadualkan berlangsung di Switzerland pada Jumaat ini.

Iklan

Perkembangan tersebut berlaku ketika Amerika Syarikat dan Iran dilaporkan mencapai persetujuan untuk menamatkan konflik di beberapa medan termasuk Lubnan serta membuka semula laluan strategik Selat Hormuz, yang merupakan laluan penting perdagangan minyak dunia.

Presiden AS, Donald Trump sebelum ini menyatakan bahawa perjanjian itu telah dimuktamadkan dan akan membuka semula Selat Hormuz, sekali gus memulihkan aliran tenaga global yang sebelum ini terjejas akibat ketegangan di rantau berkenaan.

Iklan

Bagaimanapun, butiran penting perjanjian termasuk isu program nuklear Iran masih belum diumumkan secara rasmi dan dijangka menjadi antara perkara utama dalam rundingan akan datang.

Pengumuman perkembangan itu turut memberi kesan kepada pasaran global apabila harga minyak dilaporkan susut lebih empat peratus di Asia, manakala pasaran saham utama meningkat susulan jangkaan pemulihan bekalan tenaga dunia melalui Selat Hormuz yang mengendalikan kira-kira satu perlima bekalan minyak global.-Agensi