KUALA LUMPUR – Kegiatan sindiket perjudian dalam talian dan mini kasino yang berselindung di sebalik sebuah unit residensi mewah di Bukit Jalil di sini terbongkar, susulan 15 individu ditahan dalam serbuan Op Noda/Dadu pada Sabtu.
Timbalan Ketua Polis Daerah Cheras, Superintendan Lim Chun How berkata, seramai 15 individu termasuk tiga wanita berusia 21 hingga 44 tahun ditahan dalam serbuan yang dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras.
"Kita menahan 12 lelaki dan dua wanita tempatan serta seorang wanita warga Vietnam.
"Kita turut merampas pelbagai peralatan yang dipercayai digunakan dalam kegiatan perjudian termasuk sebuah meja kasino, ratusan cip judi, daun terup, wang tunai berjumlah RM4,904, sebuah komputer riba serta set sistem audio karaoke," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Chun How berkata, polis turut merampas empat peket plastik lut sinar berisi serbuk putih disyaki dadah jenis kokain dengan anggaran berat 10.11 gram.
"Hasil semakan mendapati seorang daripada suspek merupakan individu yang dikehendaki bagi membantu siasatan kes dadah di Pulau Tikus, Pulau Pinang," katanya.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hiburan (Wilayah Persekutuan) 1992 dan Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.
"Kes turut disiasat mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 6(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953," katanya.