KUALA LUMPUR - Mah Sing Group Berhad (Mah Sing) sekali lagi tersenarai dalam senarai berprestij Fortune Southeast Asia 500 bagi tahun 2026.
Ini merupakan tahun ketiga berturut-turut syarikat tersebut menerima pengiktirafan berkenaan sejak ranking tersebut diperkenalkan pada 2024.
Fortune Southeast Asia 500 yang diterbitkan oleh Fortune, antara organisasi media perniagaan paling berpengaruh di dunia, menyenaraikan syarikat terbesar di Asia Tenggara berdasarkan hasil pendapatan bagi tahun kewangan terkini.
Penyenaraian Mah Sing mencerminkan keupayaan syarikat itu mengekalkan pertumbuhan, melaksanakan strategi secara konsisten serta kekal berdaya tahan dalam persekitaran pasaran yang sentiasa berubah.
Pengasas dan Pengarah Urusan Kumpulan Mah Sing, Tan Sri Leong Hoy Kum berkata, pengiktirafan tersebut merupakan satu pengesahan bermakna terhadap perjalanan pertumbuhan, daya tahan dan keupayaan syarikat mencipta nilai mampan dalam jangka panjang.
“Lebih penting lagi, ia mencerminkan kepercayaan yang diberikan oleh pelanggan, pemegang saham, rakan perniagaan dan pihak berkepentingan kepada kami selama ini.
“Penyenaraian dalam setiap edisi ranking sejak ia diperkenalkan amat menggalakkan kerana Fortune Southeast Asia 500 bukan sekadar ukuran saiz sesebuah syarikat, tetapi turut mencerminkan keupayaannya untuk terus relevan, berdaya saing dan memberi impak dalam salah satu rantau ekonomi paling dinamik di dunia,” katanya dalam satu kenyataan.
Bagi tahun kewangan 2025, Mah Sing mencatatkan jualan hartanah tertinggi dalam tempoh sedekad berjumlah RM2.51 bilion, disokong permintaan yang kukuh terhadap pembangunan kediamannya.
Syarikat itu turut merekodkan hasil sebanyak RM2.52 bilion dan keuntungan sebelum cukai berjumlah RM382.9 juta, meningkat 13.6 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Setakat 31 Disember 2025, jualan belum dibilkan Mah Sing berjumlah RM3.24 bilion, sekali gus memberikan prospek pendapatan yang positif pada masa hadapan.
Dalam tempoh lima bulan pertama tahun 2026 pula, Mah Sing mencatatkan jualan hartanah baharu sebanyak RM978 juta, meletakkannya pada landasan tepat untuk mencapai sasaran jualan tahunan sebanyak RM2.76 bilion.
Prestasi itu disokong oleh permintaan domestik yang berterusan khususnya dalam segmen perumahan mampu milik dan pertengahan, selain pelancaran projek di lokasi strategik.
Bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2026, keuntungan bersih yang boleh diagihkan kepada pemegang saham meningkat 3 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu, didorong oleh campuran projek yang lebih baik, kecekapan operasi dan pelaksanaan yang berdisiplin.
Jualan belum dibilkan syarikat itu turut meningkat kepada RM3.33 bilion, sekali gus menyediakan asas yang kukuh untuk pertumbuhan pendapatan pada masa depan.
Mengulas prospek perniagaan, Hoy Kum berkata, Mah Sing akan terus memberi tumpuan kepada pembangunan hartanah sebagai perniagaan teras, di samping memperkukuh portfolio pendapatan berulang bagi meningkatkan daya tahan pendapatan dan mencipta nilai mampan jangka panjang.
Menurutnya, usaha itu termasuk memperluaskan kehadiran dalam pembangunan perindustrian, infrastruktur digital serta aset pelaburan terpilih yang berpotensi menjana aliran pendapatan stabil dan berulang.
Beliau berkata, Mah Sing juga melihat peluang besar hasil transformasi perindustrian Malaysia, pertumbuhan ekonomi digital serta peningkatan permintaan terhadap infrastruktur berkualiti tinggi.
“Dalam perniagaan hartanah teras, kami akan terus memenuhi permintaan sebenar pasaran dengan menyediakan kediaman berkualiti pada harga mampu milik di lokasi pertumbuhan strategik.
“Pada masa sama, kami akan terus membuka nilai merentasi ekosistem perniagaan yang lebih luas bagi memastikan Mah Sing kekal tangkas, relevan dan berada pada kedudukan terbaik untuk fasa pertumbuhan seterusnya,” katanya.
Mah Sing kekal optimis terhadap prospek sektor hartanah Malaysia yang disokong oleh ekonomi domestik yang berdaya tahan, trend demografi yang positif serta permintaan berterusan terhadap kediaman mampu milik di lokasi strategik.