SEREMBAN - Setiausaha Akhbar kepada Menteri Besar Negeri Sembilan digesa membuat permohonan maaf secara terbuka kerana didakwa mempersenda Institusi Undang Yang Empat apabila menggelarkan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, sebagai 'Undang Yang Kelima'.
Ahli Jawatankuasa UMNO Negeri Sembilan, Datuk Saiful Yazan Sulaiman berkata, adalah tidak wajar menjadikan gelaran Undang sebagai bahan jenaka politik.
"Saya memandang serius rakaman video yang kini tular di media sosial yang memaparkan seorang pegawai kepada Menteri Besar Negeri Sembilan menggelarkan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, sebagai 'Undang Yang Kelima' ketika Majlis Pelancaran Jentera Pakatan Harapan(PH) Negeri Sembilan baru-baru ini.
"Saya ingin menegaskan bahawa gelaran Undang bukan bahan jenaka politik dan gelaran tersebut mempunyai kedudukan, sejarah dan kemuliaannya yang tersendiri dalam sistem Adat Perpatih dan kenegaraan Negeri Sembilan," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Menurutnya, perbuatan mengaitkan mana-mana pemimpin politik dengan gelaran Undang, walaupun atas alasan gurauan atau sindiran, adalah tidak wajar, tidak sensitif dan menunjukkan kegagalan memahami nilai serta kedudukan Institusi Adat Negeri Sembilan.
Tambahnya, lebih mengecewakan apabila perkara berkenaan datang daripada individu yang berada dalam lingkungan pentadbiran kerajaan negeri yang sepatutnya menjadi contoh dalam menghormati adat dan institusi negeri.
"Oleh itu, saya mendesak Menteri Besar Negeri Sembilan menyatakan pendirian beliau mengenai perkara ini.
"Menteri Besar tidak boleh berdiam diri atau berpura-pura menganggap perkara ini remeh dan kegagalan bertindak hanya akan memberikan gambaran bahawa sikap memperlekehkan institusi adat turut diterima dan dibenarkan oleh pentadbiran kerajaan negeri," katanya.
Tegasnya, rakyat Negeri Sembilan tidak akan sesekali membenarkan adat, institusi dan warisan negeri ini dipermainkan demi kepentingan atau retorik politik mana-mana pihak.
Saiful Yazan berkata, institusi adat bukan milik parti politik dan ia merupakan maruah Negeri Sembilan.
"Pegawai terbabit perlu memohon maaf secara terbuka kepada rakyat Negeri Sembilan dan Institusi Undang Yang Empat tanpa sebarang alasan atau helah.
"Permohonan maaf itu perlu dibuat segera bagi menunjukkan rasa tanggungjawab atas keterlanjuran yang telah berlaku," katanya.
Sementara itu Ketua Pemuda UMNO Negeri Sembilan, Mohamad Fadil Md Zin menyifatkan gurauan tersebut sebagai biadap dan tidak bermaruah.
Ujarnya, sebagai salah seorang rakyat di negeri ini, beliau sepatutnya lebih menjaga sensitiviti, apatah lagi merupakan salah seorang yang memegang jawatan dalam kerajaan.
"Pemuda UMNO Negeri Sembilan mengecam keras gelaran Undang kelima yang disebut oleh beliau ketika menjadi pengerusi majlis bagi Pelancaran Jentera PH Negeri Sembilan.
"Institusi Adat bukan bahan gurauan dan mainan serta perlu dihormati oleh sesiapa pun. Pepatah juga ada mengatakan ‘biar mati anak jangan mati adat'," katanya.