WASHINGTON - Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump memberitahu The New York Times pada Ahad bahawa jika Iran gagal mencapai perjanjian nuklear dengan AS, beliau akan melancarkan semula serangan ketenteraan ke atas Teheran, lapor Anadolu Ajansi.
Dalam temu bual, Trump berkata jika Iran tidak mencapai perjanjian nuklear dengan AS - satu proses yang dikatakan pembantunya dijangka bermula pada Jumaat di Switzerland - beliau akan melancarkan semula serangan tentera ke atas Iran atau menjadikan AS"penjaga Timur Tengah" dengan balasan 20 peratus daripada pendapatan rantau itu.
Beliau juga berkata, perjanjian yang dicapai dengan Iran akhirnya akan memastikan Selat Hormuz"bebas tol secara kekal".
Perdana Menteri Pakistan Shehbaz Sharif mengumumkan awal Isnin, AS dan Iran telah mencapai perjanjian damai selepas rundingan intensif, dengan kedua-dua pihak mengisytiharkan penamatan serta-merta dan kekal operasi ketenteraan di semua lokasi termasuk di Lubnan.
Trump kemudian mengesahkan perjanjian itu, mengatakan ia"kini selesai."
Semasa wawancara dengan The New York Times, Trump berkata, perjanjian itu dicapai walaupun mendapat bantahan daripada Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu.
"Beliau seorang yang sangat sukar," katanya merujuk kepada Netanyahu.
"Sejujurnya, beliau sepatutnya berterima kasih kepada kami kerana melakukan ini. Kerana jika Iran mempunyai senjata nuklear, Israel akan hilang dalam dua jam," tambahnya. - Bernama