UTTAR PRADESH - Seorang wanita berusia 19 tahun maut selepas ditikam bapanya dalam sebuah balai polis di daerah Banda, Uttar Pradesh, India dalam kejadian yang dipercayai berpunca daripada pertikaian mengenai perkahwinannya.
Memetik laporan NDTV, mangsa, Shivani, sebelum itu dilaporkan meninggalkan rumah pada 18 Mei lalu bersama jirannya, Lalit Verma.
Pasangan tersebut kemudiannya berkahwin di sebuah kuil sebelum mendaftarkan perkahwinan mereka secara sah.
Susulan kehilangan Shivani, ibu bapanya membuat laporan polis terhadap Lalit, menyebabkan pihak berkuasa melancarkan operasi mengesan pasangan berkenaan.
Pada Jumaat lalu, polis berjaya mengesan mereka di daerah Satna, Madhya Pradesh, sebelum membawa kedua-duanya ke Banda untuk siasatan lanjut.
Ketika disoal siasat, pasangan itu memaklumkan bahawa mereka berkahwin atas kerelaan sendiri dan turut mengemukakan dokumen perkahwinan sebagai bukti.
Sementara polis membuat persiapan untuk menjalankan pemeriksaan perubatan terhadap Shivani dan merekodkan kenyataannya, keluarga kedua-dua pihak hadir ke balai polis berkenaan.
Dalam sesi kaunseling yang diadakan, ibu bapa Shivani dilaporkan terus mendesaknya supaya pulang ke rumah, namun wanita itu tetap bertegas untuk tinggal bersama suaminya.
Keadaan menjadi tegang apabila ibu mangsa, Ranno, didakwa memegang Shivani dari belakang sebelum bapanya mengeluarkan sebilah pisau lalu menyerangnya di hadapan anggota polis yang berada di lokasi.
Mangsa mengalami kecederaan pada bahagian perut, lengan dan tapak tangan sebelum dikejarkan ke hospital untuk menerima rawatan.
Bagaimanapun, Shivani disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan.
Superintendan Polis Banda, Palash Bansal berkata, satu kes telah dibuka mengikut peruntukan undang-undang yang berkaitan dan bapa mangsa telah ditahan bagi membantu siasatan.