ISU pembantu rumah dipukul majikan sekali lagi mencetuskan kemarahan orang ramai selepas satu video tular di media sosial memaparkan seorang wanita dipercayai pembantu rumah dikasari oleh beberapa individu.
Dalam rakaman berkenaan, wanita itu dilihat ditampar dan ditumbuk seorang lelaki yang dipercayai majikannya, manakala tiga individu lain turut dilihat memarahi serta memaki hamun mangsa.
Difahamkan, kejadian berkenaan didakwa berlaku selepas mangsa dituduh mencederakan anak kecil majikan, namun motif sebenar masih dalam siasatan pihak berkuasa.
Kes-kes penderaan pembantu rumah seperti ini sering menimbulkan persoalan mengenai sikap segelintir majikan yang melihat pembantu sebagai ‘orang bawahan’ yang boleh diperlakukan sesuka hati.
Mereka hanyalah pekerja yang menjalankan tugas berdasarkan kontrak dan menerima upah, selain datang ke negara ini untuk mencari rezeki yang lebih baik, bukan untuk diperlakukan secara kasar atau menjadi mangsa keganasan.
Kesalahan atau kelemahan yang dilakukan pembantu rumah tidak seharusnya menjadi alasan untuk majikan bertindak ganas terhadap mereka.
Sebaliknya, sebarang ketidakpuasan hati perlu diselesaikan dengan baik dan jika melibatkan kesalahan jenayah, ia hendaklah disalurkan melalui saluran undang-undang yang betul.
Tindakan mengambil undang-undang di tangan sendiri bukan sahaja boleh mencederakan mangsa, malah berisiko membawa kepada tindakan undang-undang terhadap pelaku.
Dalam sistem perundangan negara, tiada sesiapa berhak menjatuhkan hukuman sendiri terhadap orang lain walaupun berlaku pertikaian antara majikan dan pembantu rumah.
Jadilah manusia yang berhati perut agar setiap masalah dapat diselesaikan dengan cara yang lebih adil, berhemah dan menghormati maruah sesama insan.