Manifesto Rohingya: Rakyat mahu formula, bukan retorik

Iklan
Isu lambakan pelarian Rohingya di Malaysia kini bukan sekadar isu kemanusiaan, malahan menjadi krisis nasional menjejaskan ketenteraman awam dan ekonomi negara.

ISU lambakan pelarian Rohingya di Malaysia kini bukan sekadar isu kemanusiaan, malahan menjadi krisis nasional menjejaskan ketenteraman awam dan ekonomi negara.

Menjelang musim pilihan raya, rakyat tidak mahu lagi mendengar janji kosong atau retorik politik sebaliknya menantikan manifesto yang berani, realistik, dan mempunyai pelan tindakan berkesan bagi menangani krisis ini.

Iklan
Iklan

Sentimen masyarakat terhadap komuniti Rohingya kini mengalami anjakan amat ketara daripada rasa simpati kepada kebimbangan mendalam.

Oleh itu, rakyat menuntut ketegasan dalam manifesto mengenai kawalan sempadan maritim serta darat bagi menyekat kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI).

Iklan

Dari segi ekonomi, peniaga kecil tempatan paling terkesan dengan lambakan komuniti ini di beberapa kawasan bandar dan pinggir bandar, etnik Rohingya dikesan mula memonopoli perniagaan runcit dan pasar borong menggunakan lesen pihak ketiga.

Isu berbangkit ini turut mencetuskan ketegangan fizikal di lapangan. Sebagai contoh, insiden pergaduhan di sebuah kedai di Marang baru-baru ini menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan penduduk setempat.

Iklan

Malah, kemarahan dan protes rakyat kini dizahirkan melalui pemasangan kain rentang di hampir setiap daerah di Terengganu, termasuk digantung di jejantas-jejantas utama.

Tinjauan di ruangan komen media sosial mendapati setiap isu berbangkit ini mendapat perhatian luar biasa daripada netizen.

Malah mereka juga menegaskan tidak akan teragak-agak hanya akan menyokong parti yang berjaya meyakinkan rakyat dengan formula berkesan menangani isu Rohingya ini.

Justeru, manifesto setiap parti politik menjelang pilihan raya perlu memperincikan operasi pemutihan lesen serta tindakan undang-undang tanpa kompromi.

Selain dikhuatiri menguasai ekonomi, kewujudan penempatan Rohingya di pinggir bandar turut mencetuskan masalah kebersihan.

Rakyat mahukan pelan pengurusan mobiliti yang jelas, sama ada melalui sistem penempatan berpusat dipantau ketat atau penguatkuasaan zon larangan yang efektif.

Kemudahan awam seperti sistem kesihatan dan pendidikan negara juga menerima tekanan implikasi hebat.

Hospital kerajaan kini berhadapan beban kesesakan dan isu tunggakan bil perubatan tinggi oleh warga asing, manakala kewujudan sekolah alternatif tidak berdaftar bagi golongan ini pula mencetuskan persoalan mengenai silibus pelajaran yang diajar terhadap anak-anak golongan berkenaan.

Manifesto pilihan raya juga dilihat perlu menjelaskan bagaimana kos pengurusan ini akan distrukturkan semula agar wang pembayar cukai tempatan tidak terus dibazirkan.

Di samping itu, parti politik perlu menyatakan pendirian matang dalam mengimbangi undang-undang dan tekanan geopolitik antarabangsa.

Kesepakatan di peringkat ASEAN perlu digerakkan bagi mendesak kerajaan Myanmar bertanggungjawab terhadap konflik dalaman mereka di samping merunding semula terma kerjasama dengan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) berkaitan proses penempatan semula pelarian ke negara ketiga.

Kesimpulannya, manifesto yang ditagih oleh masyarakat bukanlah sekadar janji manis yang indah khabar dari rupa, sebaliknya sebuah komitmen dan pelan tindakan nasional yang berpijak di bumi nyata.

Ia amat penting demi memelihara kedaulatan, keamanan dan kesejahteraan generasi pada masa hadapan.

* Norhaspida Yatim ialah Ketua Biro Sinar Harian Terengganu