KUALA TERENGGANU - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu mendedahkan taktik licik warga asing khususnya etnik Rohingya yang dikesan menyalahgunakan kenderaan persendirian bagi menjalankan pelbagai aktiviti komersial tidak sah di negeri ini.
Pengarah JPJ Terengganu, Zamri Samion berkata, antara aktiviti haram dikesan termasuk menyediakan perkhidmatan pengangkutan trip sesama komuniti dan menghantar anak ke sekolah.
Menurutnya, kegiatan itu berjaya dibongkar menerusi penyamaran dalam Operasi Penguatkuasaan Warga Asing (Ops PEWA) yang dilaksanakan di seluruh negeri bermula 1 hingga 13 Jun lalu.
"Perbuatan ini bukan sahaja melanggar undang-undang jalan raya, malah membawa risiko kemalangan yang tinggi kepada pengguna tempatan lain, terutama membabitkan isu kompetensi pemanduan," katanya pada sidang akhbar di sini pada Ahad.
Beliau berkata, sepanjang operasi tersebut, sebanyak 114 buah kenderaan telah diambil tindakan dan disita, manakala 559 kes saman P22 dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.
Mengulas lanjut, Zamri berkata, majoriti kenderaan yang diambil tindakan dalam operasi berkenaan didominasi oleh warga negara Myanmar membabitkan etnik Rohingya.
"Hampir 93 individu daripada keseluruhan 114 kes yang diambil tindakan adalah warga negara Myanmar. Kita melihat peratusan yang sangat tinggi melibatkan warga negara ini.
"Antara kesalahan yang paling kerap dikesan adalah tiada Lesen Memandu Kompeten (CDL), tiada Lesen Kenderaan Motor (LKM) serta tidak memiliki perlindungan insurans," ujarnya.
Dalam pada itu, beliau berkata, pemegang kad Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) tidak dibenarkan membeli aset termasuk kenderaan atau memiliki pekerjaan di negara ini.
Bagaimanapun katanya, wujud trend segelintir warga tempatan yang tidak bertanggungjawab sanggup bersekongkol menyewakan kenderaan demi mengaut keuntungan mudah.
"Siasatan mendapati ada trend individu perseorangan yang memiliki jumlah motosikal atau kenderaan yang banyak semata-mata untuk disewakan kepada warga asing ini.
"Malah ada pemilik tempatan yang dikesan membeli semula kenderaan yang disita melalui proses lelongan JPJ, sebelum menyewakannya semula kepada golongan berkenaan," dedah beliau.
Katanya lagi, JPJ kini sedang meneliti tindakan lebih tegas termasuk membawa kes ke mahkamah terhadap pemilik kenderaan tempatan yang bersubahat di bawah peruntukan Seksyen 23 (1) dan Seksyen 90 (1).