Warga tempatan diberi amaran keras, jangan jadi dalang lindungi PATI

Iklan
Antara warga asing yang ditahan dalam operasi dijalankan JIM Terengganu.

KUALA TERENGGANU – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Terengganu memperhebatkan usaha membanteras kebanjiran warga asing apabila berjaya menahan seramai 317 pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam enam siri operasi di negeri itu, sepanjang tahun ini.

​Kesemua tangkapan tersebut dilakukan menerusi rangkaian operasi bersepadu serta operasi bersepadu mega yang digerakkan di beberapa lokasi strategik.

Iklan
Iklan

​Pengarah JIM Terengganu, Mohd Yusri Mohd Nor berkata, tindakan tegas itu diambil hasil pemeriksaan menyeluruh yang dijalankan ke atas 776 individu daripada pelbagai warganegara.

​Menurut beliau, pecahan tangkapan menyaksikan seramai 277 PATI berjaya ditahan menerusi tiga Operasi Sepadu Mega.

Iklan

​"Manakala baki 40 individu lagi ditahan dalam tiga Operasi Sepadu lain yang dilaksanakan secara berasingan," katanya ketika dihubungi pada Ahad.

Antara warga asing yang ditahan dalam operasi dijalankan JIM Terengganu.

Iklan

​Mengulas lanjut, Mohd Yusri berkata tangkapan itu melibatkan warganegara Bangladesh, Indonesia, India, Iraq serta Myanmar termasuk etnik Chin dan Rohingya.

​Hasil siasatan pihak berkuasa mendapati kesemua PATI terbabit melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen, antaranya ​Seksyen 39(b) Akta Imigresen (Melanggar syarat pas) sebanyak 125 kes, ​Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen (Tiada dokumen perjalanan sah) (110 kes), ​Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen (tinggal lebih masa) melibatkan 82 kes.

​Mohd Yusri berkata, JIM Terengganu tidak akan berkompromi dan akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan dari semasa ke semasa demi memastikan negeri itu bebas daripada lambakan warga asing tidak sah.

​Beliau turut memberi amaran keras kepada warga tempatan agar tidak cuba menjadi dalang dalam melindungi golongan tersebut.

​"Tindakan tegas tanpa kompromi akan dikenakan terhadap mana-mana pihak termasuk majikan dan pemilik premis yang didapati melindungi atau menggaji warga asing tanpa dokumen yang sah," ujarnya.