KUANTAN - Pendaki wanita yang patah kaki ketika mendaki laluan Pine Tree Hill, Bukit Fraser pada Sabtu berjaya dibawa turun dengan selamat kira-kira pukul 7 pagi pada Ahad.
Pasukan penyelamat terdiri enam anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Raub terpaksa menempuh perjalanan melalui laluan mencabar selama hampir 17 jam selepas memulakan pendakian sejauh kira-kira 2.7 kilometer dari pintu masuk Pine Tree Trail.
Penolong Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Salahuddin Isa berkata, mangsa, Salina Zainal Abidin, 43, dilaporkan mengalami kecederaan serius pada kaki ketika dalam perjalanan dari kawasan Hobbit Cave menuju ke Pine Tree Hill (First Peak) sebelum terpaksa berpatah balik akibat kecederaan dialami.
"Mangsa dihantar ke Hospital Raub untuk menerima rawatan," katanya.
Mangsa dilaporkan cedera patah kaki selepas terjatuh semasa melakukan aktiviti mendaki bersama 20 peserta lain diiringi tiga jurupandu arah di Bukit Fraser, Raub pada Sabtu.
Pihak bomba menerima laporan kejadian menimpa wanita berusia 43 tahun itu dilaporkan jam 12.13 tengah hari sebelum 10 anggota dari BBP Raub bersama seorang Malim Gunung Pahang dikerah untuk operasi menyelamat mangsa terlibat.
Anggota tiba di kaki bukit yang berada 43 kilometer dari balai jam 1.40 tengah hari dan perlu mendaki bukit sejauh 2.7 kilometer ke lokasi mangsa berada.