KOTA BHARU – Sinar Harian muncul juara kategori Laporan Khas Akhbar Bahasa Melayu Terbaik pada Anugerah Media Kelantan (AMK) 2025 sempena Sambutan Hari Wartawan Nasional (Hawana) Peringkat Negeri Kelantan 2026 di sini pada Sabtu.
Ketua Biro Sinar Harian Kelantan, Hazelen Liana Kamarudin merangkul tempat pertama menerusi laporan khas bertajuk ‘Bina Benteng atau Gali Terusan?’ sekali gus membawa pulang wang tunai RM1,000 berserta plak kemenangan.
Tempat kedua pula dimenangi Ketua Biro Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Kelantan, Muhammad Afiq Mohd Asri menerusi laporan khas bertajuk ‘Sempadan Kelantan-Thailand: Ancaman Dalaman, Cabaran Geografi dan Tuntutan Kuasa Maritim’ sekali gus melayakkannya menerima hadiah wang tunai RM700 berserta plak.
Sementara itu, wartawan Berita Harian, Nor Fazlina Abd Rahim meraih tempat ketiga menerusi artikel ‘15 Pangkalan Haram di Sungai Golok Masih Jadi Laluan Seludup Dadah’ dan membawa pulang hadiah wang tunai RM300 berserta plak.
Program itu dianjurkan Kerajaan Negeri Kelantan melalui Urus Setia Penerangan dan Komunikasi Kerajaan Negeri Kelantan (UPKN) sebagai penghargaan kepada pengamal media yang banyak menyumbang kepada penyebaran maklumat dan pembangunan industri kewartawanan di negeri ini.
Sementara itu, Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud dalam ucapan perasmian menegaskan pengamal media perlu terus mempertahankan integriti dan akhlak dalam era kecerdasan buatan (AI) yang semakin mencabar.
Beliau berkata, wartawan memikul tanggungjawab besar untuk memastikan setiap laporan yang disiarkan berasaskan fakta yang benar, tepat serta boleh dipertanggungjawabkan.
“Kepercayaan masyarakat merupakan aset paling berharga dalam dunia kewartawanan.
“Apabila kepercayaan hilang, berita tidak lagi membawa pengaruh,” katanya dalam ucapan perasmian majlis berkenaan.
Turut hadir, Timbalan Pengarang Berita Sinar Harian, Mohd Fazli Zainul Abidin.
Menurut beliau, nilai amanah, jujur, adil, telus dan bertanggungjawab perlu terus menjadi pegangan pengamal media bagi memastikan institusi media kekal dihormati serta diyakini masyarakat.
“Dunia kewartawanan sebenarnya mempunyai hubungan yang sangat rapat dengan ketinggian akhlak atau yang sering disebut sebagai etika kewartawanan.
“Dalam Islam, memikul sesuatu amanah dalam setiap profesion memerlukan asas yang kukuh iaitu akhlak,” katanya.