Lapan rumah musnah dalam kebakaran di Kuala Perlis

Iklan
Kebakaran melibatkan lapan rumah kelas B dan sebuah motosikal dengan kemusnahan 100 peratus. Foto pengguna media sosial

KANGAR - Lapan rumah musnah dalam kebakaran yang berlaku di Kampung Seberang Alor, Kuala Perlis, dekat sini awal pagi Sabtu.

Pengarah Bomba Perlis, Penguasa Kanan Bomba I Wan Mohd Hamizi Wan Mohd Zin berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 3.38 pagi dan jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Perlis tiba di lokasi kejadian dua minit kemudian.

Iklan
Iklan

"Kebakaran melibatkan lapan rumah kelas B dan sebuah motosikal yang kemusnahan 100 peratus. Tindakan pemadaman menggunakan satu aliran 200 kaki dan empat sumpitan,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Pihak bomba menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 3.38 pagi. Foto pengguna media sosial

Iklan

Wan Mohd Hamizi berkata, operasi memadam kebakaran itu turut dibantu BBP Kangar dan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Simpang Empat, Padang Besar, Kuala Perlis dan Pauh sehingga operasi itu selesai.

Beliau berkata, operasi pemadaman api itu berjaya dikawal pada 4.40 pagi sebelum tamat pada 8.13 pagi serta tidak melibatkan kecederaan dalam kejadian itu.

Iklan

Pasukan forensik, katanya, sedang membuat siasatan bagi mengenal pasti punca dan jumlah kerugian. - Bernama