Sekumpulan lelaki cabut lari naik perahu, tinggalkan vape seludup

Iklan

PASIR MAS - Cubaan sekumpulan lelaki menyeludup 200 unit peranti vape bernilai RM20,000 ke Thailand gagal apabila barangan itu ditinggalkan begitu sahaja selepas diserbu Pasukan Gerakan Am (PGA) di sebuah pangkalan haram di Bakong di sini pada Jumaat.

Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 7.30 malam ketika anggota Strike Force Kompeni B Batalion 8 PGA menjalankan rondaan Op Taring Wawasan di pangkalan haram Pok Dik.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, sebaik tiba di lokasi, anggota PGA melihat beberapa lelaki sedang memindahkan kotak-kotak dari tebing sungai di sebelah Malaysia ke dalam sebuah perahu.

"Bagaimanapun, kumpulan lelaki terbabit bertindak melarikan diri dengan menaiki perahu ke arah Thailand sejurus menyedari kehadiran pasukan keselamatan.

Iklan

"Pemeriksaan lanjut di lokasi menemui dua kotak yang ditinggalkan di tepi sungai," katanya kepada pemberita pada Sabtu.

Beliau memberitahu, kesemua barangan kes dirampas dan diserahkan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Rantau Panjang untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

Iklan

Ahmad Radzi berkata, siasatan awal mendapati peranti vape berkenaan dipercayai cuba diseludup dari Malaysia ke Thailand berikutan permintaan tinggi terhadap produk itu di negara jiran tersebut.

Menurutnya, vape atau rokok elektronik masih diharamkan di Thailand termasuk dari aspek pemilikan, penggunaan, import, eksport dan penjualan.

"Kawasan pangkalan haram terbabit merupakan antara lokasi aktif bagi aktiviti penyeludupan di sektor Jeram Perdah.

"Risikan, rondaan dan pemantauan akan terus dipertingkatkan bagi membanteras kegiatan penyeludupan yang menggunakan laluan tikus di sepanjang sempadan negara," katanya.