Khutbah Jumaat di Negeri Sembilan ajak bermaafan, muhasabah diri

Iklan
Umat Islam diajak melakukan perubahan dengan menyuburkan nilai rahmah, kasih sayang dan saling menghormati dalam kehidupan bermasyarakat. Gambar hiasan

SEREMBAN - Masyarakat Islam diajak untuk menyambung kembali silaturahim yang terputus serta bersedia memohon maaf dan saling memaafkan sebelum melangkah ke tahun baharu hijrah tidak lama lagi.

Pesanan itu disampaikan menerusi khutbah Jumaat yang dibacakan di seluruh masjid di Negeri Sembilan yang bertajuk 'Hijrah, Menginsafi Masa, Memanfaatkan Usia'.

Iklan
Iklan

Berdasarkan teks khutbah tersebut, semua diajak melakukan perubahan dengan hadirnya tahun baharu 1448 Hijrah ini dengan menyuburkan nilai rahmah, kasih sayang dan saling menghormati dalam kehidupan bermasyarakat.

"Islam mendidik kita agar sentiasa berlemah lembut dalam pertuturan, menjaga adab dalam pergaulan serta menghormati setiap insan tanpa mengira pangkat dan kedudukan.

Iklan

"Sikap ini bukan sahaja menyemai perpaduan bahkan menjadi asas kepada keharmonian. Tanpa kita sedari, mungkin terdapat hati yang pernah terluka akibat kata-kata kita, maruah yang terguris kerana sikap kita, atau hubungan yang menjadi renggang akibat keegoan kita.

"Oleh itu, sebelum melangkah ke tahun baharu hijrah, marilah kita bertekad untuk menyambung kembali silaturahim yang terputus serta bersedia memohon maaf dan memaafkan," menurut khutbah.

Iklan

Turut dijelaskan bahawa pengisian khutbah yang disampaikan itu merupakan medan untuk setiap orang bermuasabah diri dan mengambil iktibar.

Dalam khutbah tersebut beberapa kali menekankan kepentingan muhasabah diri dengan memanfaatkan usia yang diberikan oleh ALLAH, melakukan kebaikan.

"Lazimnya menjelangnya tahun baharu, ramai yang memasang azam dan merancang ke arah kehidupan yang lebih baik.

"Namun, di sebalik perancangan tersebut, janganlah kita lupa untuk bermuhasabah sejauh manakah masa dan usia yang dikurniakan ALLAH telah dimanfaatkan untuk meningkatkan keimanan, memperbanyakkan amal soleh serta mendekatkan diri kepada-Nya.

"Sedarlah bahawa nikmat kehidupan yang dikurniakan oleh Allah merupakan peluang yang amat berharga. Setiap detik yang dipinjamkan hendaklah dimanfaatkan untuk bertaubat atas segala dosa serta memperbaiki hubungan dengan Allah SWT dan sesama manusia," menurut khutbah.

Selain itu, disampaikan pesanan Imam Hasan al-Basri rahimahullah yang mengingatkan bahawa, 'seseorang hamba itu akan sentiasa berada dalam kebaikan selagi ada kesedaran dalam dirinya dan dia sentiasa menjadikan muhasabah terhadap kesilapan diri sebagai keutamaan dalam hidupnya'.

Justeru, setiap orang jangan berasa cukup dengan amalan yang ada, sebaliknya terus berusaha memperbaiki kelemahan dan meningkatkan ketaatan kepada ALLAH.

"Islam mendidik umatnya agar sentiasa bermuhasabah dan tidak membiarkan kehidupan berlalu tanpa penilaian. Setiap hari yang berlalu seharusnya mendorong kita menilai kebaikan yang telah dilakukan, dosa yang masih diulangi dan taubat yang masih tertangguh.

"Inilah hakikat muhasabah, mengakui kelemahan diri dengan penuh kejujuran di hadapan ALLAH. Muhasabah bukan bertujuan melemahkan jiwa dengan perasaan bersalah, sebaliknya menjadi dorongan untuk kembali kepada ketaatan dan berusaha memperbaiki diri secara berterusan," kata khutbah.