MMN tidak setuju kemasukan besar-besaran jururawat Indonesia ke Malaysia

Iklan

SHAH ALAM - Persatuan Jururawat Lelaki Malaysia (MMN) tidak bersetuju dengan usul Indonesia bersedia membawa masuk dan membekalkan jururawat dari negara itu ke Malaysia bagi menangani masalah kekurangan tenaga kerja kesihatan.

MMN menegaskan, pendirian tersebut bukan bersifat prejudis terhadap profesionalisme tenaga kerja kesihatan Indonesia, tetapi ia berpaksikan keutamaan menjaga kualiti penjagaan pesakit, keselamatan klinikal serta kestabilan sistem kesihatan Malaysia dalam jangka panjang.

Iklan
Iklan

Menurut persatuan itu, isu utama yang perlu diberi perhatian serius antara lain perbezaan standard latihan kejururawatan, kelayakan akademik, prosedur dan protokol klinikal, kebolehan berkomunikasi dalam Bahasa Melayu serta dialek tempatan.

"Perkara ini boleh mempengaruhi penyampaian rawatan yang selamat dan berkesan kepada pesakit Malaysia.

Iklan

"Selain itu, negara masih mempunyai ramai lulusan kejururawatan yang belum mendapat penempatan tetap di hospital kerajaan dan swasta.

"Justeru, keutamaan mesti diberikan kepada pengambilan dan penempatan graduan tempatan terlebih dahulu sebelum memikirkan tenaga kerja asing.

Iklan

"Setelah meneliti pelbagai sudut secara menyeluruh, MMN dengan tegas menyatakan tidak setuju sekiranya usul ini dilaksanakan tanpa kajian yang lebih mendalam dan teliti," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Pada Rabu, Indonesia dilapor bersedia membekalkan seramai 15,000 jururawat dari negara itu ke Malaysia bagi memenuhi krisis kekurangan tenaga kerja terbabit dalam sektor kesihatan negara ini.

Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Raden Datuk Mohammad Iman Hascarya Kusumo memaklumkan, negara itu kini menghasilkan kira-kira 65,000 jururawat setiap tahun sekali gus mempunyai bekalan tenaga kerja yang mencukupi untuk dihantar ke Malaysia.

Terdahulu, Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, Malaysia sedang mempertimbangkan cadangan Indonesia untuk memperluas penempatan pekerja migran Indonesia (PMI) ke sektor kesihatan, khususnya tenaga kejururawatan.

Media sebelum ini melaporkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berdepan jurang kritikal apabila kekurangan hampir 15,000 jururawat bertauliah.

Kadar kekosongan kira-kira 18 peratus itu didorong oleh penghijrahan tenaga kerja ke luar negara, peningkatan bebanan tugas dan penuaan populasi.

Mengulas lanjut, kata MMN, kemasukan jururawat asing secara besar-besaran tanpa perancangan rapi boleh menjejaskan peluang pekerjaan warganegara dan membebankan sistem latihan adaptasi tempatan.

Persatuan dengan tegas meminta KKM, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) dan agensi berkaitan untuk meneliti implikasi undang-undang, etika profesional, sosioekonomi serta keselamatan pesakit dengan lebih baik sebelum membuat sebarang keputusan.

"Kajian impak menyeluruh, perbandingan kompetensi secara terbuka, mekanisme pemantauan serta penilaian berkala yang ketat perlu dilakukan.

"Sekiranya kemasukan ini benar-benar diperlukan, ia hendaklah bersifat sementara, terhad jumlahnya dan dikenakan syarat lesen sementara yang ketat.

"MMN menegaskan kebajikan pesakit, maruah profesion kejururawatan tempatan dan peluang pekerjaan warganegara tidak boleh dikorbankan demi menyelesaikan masalah kekurangan tenaga kerja secara jangka pendek," ujarnya lagi.