KUALA LUMPUR – Bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas gagal dalam permohonannya di Mahkamah Tinggi di sini pada Jumaat, untuk memasukkan penggantinya, Tan Sri Idrus Harun sebagai defendan pihak ketiga dalam kes saman berniat jahat difailkan bekas Ahli Parlimen Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Ab Samad, tiga tahun lalu.
Hakim, Gan Techiong memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan Kerajaan dan dua pihak lain, untuk mengetepikan notis permohonan Tommy.
Semasa membaca keputusan, beliau berkata, Kerajaan selaku defendan keempat mengakui bahawa Tommy yang juga defendan pertama membuat keputusan untuk mendakwa Shahrir atas kapasiti rasminya sebagai Peguam Negara dan tiada dakwaan niat jahat.
Beliau berkata, bekas Pengerusi Felda itu selaku plaintif, memilih untuk tidak menamakan Idrus sebagai defendan bersama dalam saman sivil berkenaan sekali gus menjadi hak plaintif untuk memutuskan individu yang mahu disaman.
Bagaimanapun, beliau berkata, jika Tommy menganggap Idrus menjadi saksi dalam kes ini, beliau bebas untuk memanggilnya untuk hadir di mahkamah bagi memberi keterangan.
"Mahkamah mendapati defendan pertama tidak akan mengalami sebarang prejudis jika mahkamah ini mengetepikan prosiding pihak ketiga.
"Hak perlembagaan defendan pertama tidak terjejas oleh ketiadaan penggantinya sebagai pihak ketiga dalam saman sivil ini.
“Oleh itu, saya membenarkan permohonan defendan kedua, ketiga dan keempat untuk mengetepikan notis berkenaan bagi mengelakkan pembaziran kos untuk defendan keempat,” katanya.
Hakim berkata, kerajaan tidak sepatutnya dikenakan kos tambahan untuk prosiding pihak ketiga.
Beliau berkata, Tommy tidak perlu bimbang kerana jika mahkamah memutuskan beliau bertanggungjawab membayar pampasan kepada Shahrir, kerajaan akan melunaskannya secara vikarius.
Dalam prosiding ini, peguam, Syahrul Syazwan Salehin hadir bagi pihak Shahrir manakala peguam, Mervyn Lai dan Haikaldin Mahyidin untuk Tommy.
Defendan kedua hingga keempat diwakili Peguam Kanan Persekutuan, Zureen Elina Mohd Dom.
Pada 5 Januari 2023, Shahrir dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi di sini berhubung kes gagal mengisytiharkan RM1 juta diterima daripada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melalui satu cek kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Shahrir memfailkan saman pada Disember 2023, dengan menamakan Tommy, bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Latheefa Koya, SPRM dan kerajaan sebagai defendan pertama hingga keempat.
Pertikaian tersebut berpunca daripada cek RM1 juta yang diterima Shahrir daripada Najib bagi pemulihan projek perumahan Puri Langkasuka di Larkin, Johor.
Dalam samannya, Shahrir mendakwa berlaku salah guna kuasa dalam jawatan awam, yang kemudian dinafikan oleh Tommy.
Pada 30 Januari, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan Tommy untuk memfailkan tuntutan pihak ketiga terhadap Idrus.
Tommy memohon untuk menuntut ganti rugi penuh daripada Idrus sekiranya mahkamah ini memutuskan bahawa defendan pertama bertanggungjawab untuk membayar ganti rugi kepada plaintif.
Selepas peletakan jawatannya pada Februari 2020, beliau tidak lagi terlibat dalam pendakwaan terhadap plaintif dan Idrus, yang dinamakan sebagai pihak ketiga dalam saman sivil ini, adalah Peguam Negara apabila perbicaraan jenayah bermula.
Ini mengakibatkan 22 saksi pendakwaan dipanggil sebelum pelepasan dipohon oleh pihak pendakwaan pada 5 Januari 2023.
Dalam pada itu, mahkamah menetapkan perbicaraan kes saman tersebut pada 19 Ogos manakala September pada 4, 7, 9, 29 dan 30.