'Dayyan kekuatan saya’

Iklan
Nurul Darvina menunjukkan mata Dayyan yang sudah dibedah pada Mei lalu.

KUANTAN – Ibu kepada enam cahaya mata diuji dengan dugaan berat apabila anak kelimanya disahkan menghidap retinoblastoma, sejenis kanser mata tahap E sehingga menyebabkan bola mata kirinya terpaksa dibuang.

Namun kecekalan luar biasa yang ditunjukkan Muhammad Shahiran Dayyan Mohd Sharon, 3, atau lebih mesra disapa Dayyan menjadi kekuatan buat ibunya, Nurul Darvina Mat Daud, 36, untuk terus bertahan dengan ujian itu.

Iklan
Iklan

Katanya, sepanjang tempoh diagnosis, anak kelima daripada enam beradik itu tidak pernah menunjukkan tanda jelas kesakitan walaupun perubahan pada matanya berlaku secara perlahan.

Menurut Nurul Darvina, Dayyan juga tidak banyak kerenah selepas kembali sedar daripada kesan bius pembedahan bagi membuang keseluruhan bola mata kiri di Hospital Tunku Azizah (HTA), Kuala Lumpur pada 15 Mei lalu.

Iklan

"Dia juga dilihat riang dan aktif seperti tiada apa-apa berlaku menyebabkan saya kuat semangat untuk menjalani ujian ini, tapi tipu jika saya kata, saya langsung tidak sedih dan menangis dengan apa yang berlaku.

“Tapi apa-apa pun saya perlu kuat demi Dayyan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Sungai Karang Darat di sini pada Khamis.

Iklan

Mengimbas kembali detik awal keadaan Dayyan, Nurul Darvina berkata, perubahan pada mata kiri anaknya itu mula disedari apabila terdapat pantulan putih luar biasa pada mata berkenaan pada Februari lalu.

Dia kemudian membawa Dayyan mendapatkan pemeriksaan di Klinik Kesihatan Balok sebelum dirujuk ke Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan.

“Dayyan ditahan di wad untuk pemeriksaan lanjut dan disahkan menghidap kanser mata tahap E iaitu tahap paling kritikal.

“Seterusnya Dayyan dipindahkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) bagi menjalani pembedahan serta rawatan seterusnya,” ujarnya.

Muhammad Shahiran Dayyan, 3, aktif walaupun hanya menggunakan sebelah mata untuk melihat.

Nurul Darvina memberitahu Dayyan dijadualkan untuk hadir semula ke HKL pada 18 Jun ini bagi rawatan susulan.

Menurutnya, pertemuan itu akan menentukan sama ada Dayyan perlu menjalani rawatan kemoterapi serta pemasangan mata palsu yang perlu ditanggung sendiri oleh keluarga kerana tidak termasuk dalam pembiayaan hospital kerajaan.

“Kami belum pasti bayaran yang akan dikenakan untuk mata palsu, tapi yang pasti kos perjalanan dan keperluan di sana sudah tentu perlu ditanggung sendiri.

“Anak bongsu saya berusia dua tahun juga akan menjalani ujian bagi mengesan sama ada dia berisiko atau tidak kerana dia mempunyai genetik yang sama,” katanya.

Dalam pada itu, Nurul Darvina dan suaminya, Mohd Sharon Abdul Aziz, 32, berharap ada pihak yang sudi menghulurkan bantuan bagi menampung kos rawatan dan keperluan perubatan anak mereka.

“Suami bekerja sebagai tukang rumah dengan gaji harian kira-kira RM80 sehari dan sekiranya dia terpaksa bercuti panjang kerana rawatan anak, kami akan hilang punca pendapatan.

“Saya difahamkan, sekiranya mata palsu yang akan dipasang nanti tidak sesuai untuk Dayyan, kami perlu mengeluarkan perbelanjaan sendiri untuk mendapatkan mata palsu lain,” jelasnya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan kepada keluarga itu boleh berbuat demikian ke akaun Maybank 156012452303 atas nama Nurul Darvina.