Tekanan berganda kelas pertengahan Indonesia

Iklan
Golongan pertengahan di Indonesia sentiasa dianggap mampu memikul beban apabila cukai, kadar pinjaman, tarif dan harga tenaga meningkat.

JAKARTA - Golongan kelas pertengahan di Indonesia berdepan tekanan baharu selepas kenaikan kadar faedah yang tidak dijangka diikuti peningkatan mendadak harga bahan api bukan bersubsidi, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap perbelanjaan isi rumah dan pertumbuhan penggunaan domestik.

Pada Selasa, Bank Indonesia menaikkan kadar dasar BI sebanyak 25 mata asas kepada 5.50 peratus untuk memperkukuh nilai rupiah disusuli pengumuman kenaikan harga petrol Pertamax (RON92) sebanyak 32.1 peratus kepada 16,250 rupiah (RM3.69) daripada 12,300 rupiah (RM2.80) seliter.

Iklan
Iklan

Harga Pertamax Green (RON95) yang dicampur dengan etanol pula menyaksikan peningkatan sebanyak 31.8 peratus daripada 12,900 rupiah (RM2.93) kepada 17,000 rupiah (RM3.86) seliter manakala harga Pertalite (RON90) kekal tidak berubah.

Ahli ekonomi memberi amaran gabungan kos pinjaman yang lebih tinggi dan kenaikan harga bahan api boleh memberi tekanan besar kepada isi rumah berpendapatan sederhana.

Iklan

Ahli ekonomi memberi amaran gabungan kos pinjaman yang lebih tinggi dan kenaikan harga bahan api boleh memberi tekanan besar.

“Golongan berpendapatan sederhana akan berdepan bayaran gadai janji yang lebih mahal, ansuran pinjaman kenderaan yang lebih tinggi, kos pengangkutan sekolah yang meningkat dan perbelanjaan ulang-alik yang bertambah selain simpanan yang semakin cepat susut,” kata ahli ekonomi dari UPN Veteran Jakarta, Achmad Nur Hidayat.

Iklan

Menurut Achmad, golongan kelas pertengahan di negara itu telah sekian lama menjadi tulang belakang penggunaan domestik, namun sering kali terpaksa menanggung kos pelarasan ekonomi.

"Pengguna bahan api bukan bersubsidi yang kebanyakannya terdiri daripada kumpulan itu terpaksa menanggung kos tambahan apabila harga tenaga diselaraskan. Mereka juga dianggap terlalu berada untuk dikategorikan sebagai layak menerima bantuan sosial. Selain itu, golongan itu sentiasa dianggap mampu memikul beban apabila cukai, kadar pinjaman, tarif dan harga tenaga meningkat," ujarnya.

Achmad menegaskan bahawa golongan kelas pertengahan merupakan tonggak penting ekonomi sebagai pembayar cukai, peminjam bank, pembeli rumah, pengguna perkhidmatan pendidikan dan pemacu utama perbelanjaan isi rumah.

“Jika kumpulan ini menjadi rapuh, ekonomi negara akan kehilangan penampan utamanya,” tambahnya lagi.

Amaran sosioekonomi

Data daripada Badan Pusat Statistik (BPS) menunjukkan bahawa isi rumah kelas pertengahan dan bakal golongan itu mewakili lebih separuh daripada populasi negara serta menyumbang lebih 80 peratus daripada penggunaan isi rumah. Oleh itu, kelemahan kuasa beli kumpulan tersebut boleh memberi implikasi besar kepada pertumbuhan ekonomi.

Achmad turut menyorot penyusutan saiz kelas pertengahan Indonesia. Bilangan rakyat dalam kategori tersebut menurun daripada 57.33 juta orang pada 2019 kepada 47.85 juta orang pada 2024 yang bermakna kira-kira 9.5 juta orang telah keluar daripada kategori itu dalam tempoh lima tahun.

Isi rumah kelas pertengahan dan bakal golongan itu mewakili lebih separuh daripada populasi negara serta menyumbang lebih 80 peratus daripada penggunaan isi rumah.

“Angka tersebut bukan penurunan kecil. Ia merupakan amaran sosioekonomi. Mereka yang sebelum ini mampu menyimpan wang, membayar gadai janji, membeli insurans dan menyediakan pendidikan yang lebih baik untuk anak-anak kini terpaksa mengira semula bajet walaupun ia melibatkan perbelanjaan asas harian,” jelasnya.

Beliau berpendapat pertumbuhan ekonomi yang sihat bukan hanya diukur melalui angka Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), tetapi juga melalui keupayaan keluarga mengekalkan taraf hidup mereka tanpa perlu menghabiskan simpanan atau menambah hutang.

Sementara itu, Menteri Kewangan Indonesia, Purbaya Yudhi Sadewa berkata, kesan kenaikan harga bahan api terhadap inflasi dijangka terhad kerana ia tidak digunakan untuk pengangkutan awam.

Kadar inflasi tahunan keseluruhan meningkat kepada 3.08 peratus pada Mei iaitu paras tertinggi dalam tempoh lapan bulan.

Bagi Masgal Carta di Bandung, Jawa Barat, kenaikan harga yang berlaku secara mengejut itu akan terus menekan kewangannya.

“Sejujurnya, saya agak terkejut apabila mengetahui tentang kenaikan harga bahan api kerana motosikal saya juga menggunakan Pertamax,”

“Harga barangan keperluan asas sudah mula meningkat sedangkan pendapatan saya masih sama. Kini, harga bahan api yang merupakan pengangkutan utama kami untuk ke tempat kerja juga naik secara mendadak,” menurutnya lagi. - Agensi