Penerima STR BSN raih ganjaran 'Supermarket Sweep'

Iklan
Pemangku Ketua Eksekutif BSN, Mujibburrahman Abd Rashid (tiga dari kanan) bersama Ketua Jabatan Pengurusan Cawangan, Deposit, Pembayaran & Rangkuman Kewangan BSN, Noreidayu Harun (paling kiri) serta Pengurus Kanan Mall Operations - Central Region AEON Malaysia (paling kanan), Amran Abdul Latif, bersama tiga pemenang Kempen Gabungan BSN SSP & BSN GIRO-i 2025 yang diraikan dengan ganjaran ‘Supermarket Sweep’ bertempat di AEON Mall Cheras Selatan.

BANK Simpanan Nasional (BSN) memperkukuh komitmen memupuk budaya menyimpan dalam kalangan rakyat Malaysia dengan meraikan penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) yang menyimpan secara konsisten menerusi Kempen Gabungan BSN SSP dengan BSN GIRO-i 2025.

Kempen yang berlangsung dari 1 Ogos hingga 31 Disember 2025 itu bertujuan menggalakkan penerima STR membudayakan amalan menabung dengan menyalurkan sebahagian daripada bantuan yang diterima ke dalam BSN SSP.

Iklan
Iklan

Menerusi simpanan minimum RM50 sebulan untuk sekurang-kurangnya tiga bulan sepanjang tempoh kempen, inisiatif ini bertujuan membantu pelanggan membina tabiat menyimpan yang lebih teratur ke arah daya tahan kewangan jangka panjang yang lebih kukuh.

Pada kemuncak kempen, tiga pemenang utama yang terdiri daripada dua pelanggan dari Perak dan seorang pelanggan dari Kuala Lumpur diraikan di AEON Mall Cheras Selatan menerusi ganjaran Supermarket Sweep bernilai sehingga RM5,000 setiap seorang. Setiap pemenang diberi masa lima minit untuk memilih barangan runcit pilihan mereka.

Iklan

Selain itu, seramai 200 pelanggan STR BSN turut memenangi pelbagai hadiah menarik menerusi empat kategori di bawah kempen ini.

Pemangku Ketua Eksekutif BSN, Mujibburrahman Abd Rashid (tiga dari kiri) bersama Ketua Jabatan Pengurusan Cawangan, Deposit, Pembayaran & Rangkuman Kewangan BSN, Noreidayu Harun (paling kiri) serta salah seorang pemenang Kempen Gabungan BSN SSP & BSN GIRO-i 2025 yang diraikan dengan ganjaran ‘Supermarket Sweep’ bertempat di AEON Mall Cheras Selatan.

Iklan

Pemangku Ketua Eksekutif BSN, Mujibburrahman Abd Rashid berkata, kempen ini mencerminkan komitmen berterusan BSN dalam memupuk budaya menabung serta meningkatkan keterangkuman kewangan, khususnya dalam kalangan komuniti yang menerima manfaat daripada inisiatif bantuan kerajaan.

“Kami berharap lebih ramai penerima STR terdorong untuk menjadikan simpanan sebagai sebahagian daripada amalan pengurusan kewangan harian mereka.

“Walaupun bermula dengan jumlah yang kecil, simpanan yang dilakukan secara berterusan mampu membantu membina kedudukan kewangan yang lebih terjamin pada masa hadapan,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah Mujibburrahman, sebagai sebuah institusi kewangan pembangunan negara, BSN akan terus memperkenalkan inisiatif yang bukan sahaja memberi nilai tambah kepada pelanggan, malah menggalakkan perancangan kewangan yang lebih bijak ke arah kesejahteraan kewangan mampan.

BSN SSP merupakan produk simpanan patuh syariah yang direka untuk menyediakan platform simpanan yang selamat, mudah dan boleh diakses oleh semua rakyat Malaysia.