SHAH ALAM - Jenama teh terkenal, Ahmad Tea meraikan ulang tahun ke-40 menerusi sambutan Jubli Delima di Malaysia yang menandakan empat dekad legasi keluarga dan kepakaran dalam pembuatan teh.
Ahmad Tea dalam satu kenyataan memaklumkan, sempena sambutan itu, pihaknya turut memperkenalkan produk terbaharu iaitu Sencha.
Selain itu, syarikat milik keluarga dari Britain itu turut melantik pemain bola sepak Liga Perdana Inggeris, Antoine Semenyo sebagai Duta Jenama Global menerusi kempen global ‘Preparation Is Everything’.
“Berbekalkan pemilihan teh yang rapi, adunan yang mahir serta komitmen tidak berbelah bahagi terhadap kualiti, Ahmad Tea telah memperluas rangkaian produk merangkumi teh hitam klasik Britain, teh herba yang diolah dengan teliti serta pelbagai varieti teh moden.
“Kepelbagaian itu bukan sahaja mencerminkan warisan syarikat tetapi juga cita rasa peminat teh yang sentiasa berkembang di seluruh dunia,” menurut Ahmad Tea pada Jumaat.
Ditubuhkan di Southampton, England pada 1986 oleh Rahim Afshar dan adik-beradiknya, Ahmad Tea bermula sebagai sebuah kedai teh keluarga kecil yang diasaskan berdasarkan prinsip bahawa kualiti tidak boleh dikompromi dan setiap produk seharusnya layak dihidangkan di rumah keluarga sendiri.
Mengulas lanjut mengenai pelancaran Sencha, Ahmad Tea berkata, produk itu mencerminkan evolusi berterusan jenama berkenaan dengan mengetengahkan kepakaran pengadunan teh selain meraikan kepelbagaian tradisi dan cita rasa pengguna teh masa kini.
“Dengan melangkah ke dekad seterusnya, Ahmad Tea kekal komited untuk berkembang seiring dengan perubahan cita rasa pengguna, sambil mengekalkan prinsip yang telah menjadi panduan kepada perniagaan keluarga ini selama empat dekad.
“Daripada permulaannya di Southampton hingga ke kehadirannya yang semakin berkembang di peringkat antarabangsa, tujuan Ahmad Tea kekal tidak berubah iaitu menghasilkan teh yang layak dihidangkan di setiap rumah.”
Sambutan Jubli Delima di Malaysia menampilkan paparan Dinding Warisan 40 Tahun, sesi merasa pelbagai teh serta pameran rangkaian produk teh keluaran syarikat itu.