DALAM era media sosial yang bergerak sepantas kilat, setiap kejadian boleh tersebar ke seluruh negara hanya dalam beberapa minit.
Malangnya, apabila berlaku kemalangan ngeri, ada segelintir netizen yang terlalu teruja menjadi orang pertama berkongsi gambar atau video tanpa memikirkan kesan terhadap keluarga mangsa.
Merak Jalanan sering tertanya-tanya, apa sebenarnya yang dicari? Adakah jumlah tanda suka, perkongsian atau perhatian daripada pengguna lain lebih penting daripada menjaga maruah dan perasaan insan yang sedang berdepan detik paling sukar dalam hidup mereka?
Bayangkan seorang ibu, ayah, suami, isteri atau anak mengetahui ahli keluarga mereka terlibat dalam kemalangan melalui gambar yang tular di media sosial.
Lebih menyedihkan apabila wajah mangsa, keadaan tubuh badan atau lokasi kejadian dipaparkan secara terbuka tanpa sebarang pertimbangan.
Hakikatnya, setiap mangsa mempunyai keluarga yang sedang menanggung kesedihan.
Mereka bukan sekadar bahan kandungan untuk memenuhi ruang media sosial. Apa yang dianggap sebagai 'maklumat pantas' oleh sesetengah pihak mungkin menjadi trauma berpanjangan kepada keluarga yang melihatnya.
Merak Jalanan percaya masyarakat kita sebenarnya cukup prihatin.
Namun, dalam keghairahan menggunakan telefon pintar, kadangkala kita terlupa tentang batas kemanusiaan. Tidak semua perkara perlu dirakam, dan tidak semua rakaman perlu dikongsi.
Jika benar mahu membantu, salurkan maklumat kepada pihak berkuasa atau beri laluan kepada pasukan penyelamat menjalankan tugas. Itu jauh lebih bermakna daripada menekan butang 'kongsi'.