SHAH ALAM -"Pakcik memang nak sangat pergi haji, kalau dapat meninggal dunia di sana pun Alhamdulillah."
Itu merupakan antara bait kata terakhir Allahyarham Mohd Sukri Zakaria, 68, kepada doktor ketika menjalani pemeriksaan kesihatan sebelum berangkat ke Tanah Suci.
Siapa sangka, kata-kata itu akhirnya menjadi kenyataan apabila bekas Guru Besar Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) tersebut menghembuskan nafas terakhir di Hospital King Abdullah Medical City Specialist, Makkah pada 3 Jun lalu.
Anak Allahyarham, Norhafizah Mohd Sukri, 42, berkata, pemergian bapanya itu meninggalkan kesan yang mendalam, namun mereka sekeluarga reda dengan ketentuan Ilahi.
"Sebagai anak-anak, kami perlu kuat dan tabah menghadapi ujian ini, terutamanya untuk menjaga emosi mak yang kini masih dalam keadaan kurang sihat," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.
Menurut anak sulung daripada lapan beradik itu, perancangan asal keberangkatan Allahyarham ke Tanah Suci adalah bertemankan ibunya, Hazimah Hamzah, 60.
Namun, impian tersebut bertukar apabila ibunya diserang angin ahmar separuh badan pada hujung tahun lalu.
Jelas beliau, meskipun berat hati dan sedih kerana terpaksa berkelana seorang diri tanpa ditemani isteri tercinta, Allahyarham tetap menyambut panggilan ke Baitullah tersebut demi menunaikan haji.
"Mak mengalirkan air mata semasa menghantar ayah. Pagi sebelum berangkat, ayah ada masuk ke bilik mak untuk meminta maaf dan ayah juga telah memaafkan semua.
"Masa kami bersalam dan mencium ayah, ayah hanya diam dan tersenyum sahaja. Ayah tidak mahu berlengah di situ kerana dia terlalu sedih melihat keadaan mak yang tidak dapat pergi bersama," ujarnya.
Menurut Norhafizah, Allahyarham yang mempunyai sejarah penyakit jantung sebelum ini telah disahkan berada dalam keadaan sihat oleh pihak Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan sebelum bertolak.
Beliau bagaimanapun berkata, setelah tiba di Tanah Suci, kesihatan bapanya mula merosot apabila dikhabarkan Allahyarham berasa sakit di bahagian perut.
“Ayah ada sejarah sakit jantung sebelum ini. Jadi ayah perlu menjalani pemeriksaan jantung di HTAA sebelum terima tawaran. Masa periksa tu, jantung ayah nampak baik, doktor pun beri kelepasan untuk ayah pergi menunaikan haji.
“Tapi masa nak dekat wukuf, rakan sebiliknya beritahu perut ayah sakit seperti ditusuk-tusuk,” katanya lagi.
Namun, beliau menjelaskan, keadaan itu tidak mematahkan semangat Allahyarham untuk menuju ke Arafah.
"Malah, ayah turun paling awal dan tiba di Padang Arafah mendahului rakan-rakannya yang lain. Kami sangat kagum dengan semangat juang yang ditunjukkan oleh ayah untuk menyempurnakan wukuf di sana," jelasnya lagi.
Ujar Norhafizah, sebelum dilaporkan kritikal, Allahyarham mengalami sesak nafas dalam keadaan masih berihram dan telah dimasukkan ke Hospital King Abdullah sebanyak dua kali sebelum terpaksa menjalani pembedahan pintasan jantung pada 26 Mei lalu.
Sepanjang proses itu, Norhafizah menzahirkan rasa syukur yang tidak terhingga atas kehadiran seorang jemaah haji yang sanggup bersusah payah mencari talian waris untuk memaklumkan perkembangan Allahyarham.
"Pihak Tabung Haji (TH) pada mulanya memaklumkan beg ayah berada di bilik petugas dan meminta waris terdekat mengambilnya, sedangkan ayah pergi bersendirian tanpa ada ahli keluarga di sana.
"Namun, Alhamdulillah, ALLAH menggerakkan hati Cikgu Zaki (jemaah haji yang bersama ayah) untuk mencari nombor telefon saya walaupun beliau langsung tidak mengenali kami sekeluarga.
“Dialah yang melaporkan keadaan ayah dari hospital, semasa urusan solat jenazah di Masjidil Haram sehinggalah urusan pengebumian," katanya hiba.
Jelas Norhafizah, jenazah Allahyarham Mohd Sukri telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Al-Syaraie di Makkah.
“Doakan arwah ayah saya, Mohd Sukri Zakaria dan doakan juga agar kami sekeluarga terus kuat,” ujarnya.