Tali pinggang keledar penyelamat dua wartawan daripada cedera parah dalam nahas

Iklan
Nur-ul Afida (kiri) berbual dengan Nur Afiradina sebelum menyampaikan sumbangan Tabung Kasih@HAWANA x TM di kediamannya di Taman Tasik Semenyih hari ini. Foto: Bernama

SEMENYIH - Menitikberatkan aspek keselamatan khususnya pemakaian tali pinggang keledar menjadi penyelamat kepada dua wartawan daripada mengalami kecederaan lebih parah apabila kereta dinaiki mereka dirempuh sebuah lori di Jalan Ipoh-Lumut Ahad lepas.

Mengimbau kejadian kira-kira jam 6 pagi itu, wartawan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Nur Afiradina Arshad, 34, berkata, pemakaian tali pinggang keledar mengurangkan kecederaan serius dan menyelamatkannya serta rakan, Zahratulhayat Mat Arif, 37, wartawan New Straits Times (NST).

Iklan
Iklan

"Insya-ALLAH semangat kerja masih ada. Alhamdulillah doktor sudah periksa, tiada kecederaan serius cuma lebam sikit di bahu dan lengan kanan. Kami pakai tali pinggang keledar, sekali gus mengurangkan risiko kecederaan serius.

"Ini semua ujian Tuhan, kalau sudah ditakdirkan berlaku, kemalangan akan berlaku,” katanya yang bertugas di Biro Bernama Perak ketika ditemui Bernama di kediamannya di Taman Tasik Semenyih, di sini hari ini.

Iklan

Nur Afiradina bersama-sama Zahratulhayat dalam perjalanan bagi membuat liputan program Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Bagan Datuk sebelum kereta dinaiki mereka dirempuh sebuah lori dari arah belakang ketika berhenti di persimpangan lampu isyarat.

Rempuhan kuat itu menyebabkan kenderaan dipandu Nur Afiradina berpusing beberapa kali sebelum terbalik dan Zahratulhayat tersepit di tempat duduk penumpang.

Iklan

Susulan kejadian, Nur Afiradina menerima rawatan di zon kuning Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh manakala Zahratulhayat dibenarkan pulang selepas menerima rawatan di hospital sama.

Terdahulu, nasib Nur Afiradina yang hampir lima tahun berkhidmat dalam dunia kewartawanan mendapat perhatian apabila menerima sumbangan kewangan daripada Tabung Kasih@HAWANA x TM bagi meringankan beban kos perubatannya sepanjang tempoh pemulihan.

Sumbangan kebajikan itu disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Bernama, Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin bersama Ketua Pengarang, Arul Rajoo Durar Raj serta Ketua Khidmat Pengurusan dan Kewangan Bernama, Sharifah Zaini Syed Zain, diiringi barisan pengurusan Bernama.

Nur-ul Afida berkata, kebajikan dan keselamatan petugas media sentiasa menjadi keutamaan Bernama selaku agensi pelaksana Kementerian Komunikasi dalam menggerakkan inisiatif berkenaan.

"Kami harap kehadiran membawa sumbangan ini mampu membantu mengurangkan sikit bebanan kewangan Dina untuk perubatan dan sebagainya.

"Untuk rakan wartawan daripada NST, Zahratulhayat, insya-ALLAH Encik Arul (Arul Rajoo) akan mengadakan lawatan dan membawa juga sumbangan Tabung Kasih kepada beliau,” katanya yang berharap jaringan keselamatan sosial para pengamal media seluruh negara sentiasa terbela.

Sebelum ini, Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil menerusi hantaran di Facebook memaklumkan pihak kementerian menerusi Bernama mengambil tindakan segera bagi menyalurkan bantuan kepada kedua-dua pengamal media berkenaan.

Tabung Kasih@HAWANA X TM yang merupakan kerjasama strategik dengan Telekom Malaysia (TM) adalah peluasan inisiatif Tabung Kasih@HAWANA menerusi dana tanggungjawab sosial korporat (CSR) TM bagi memperluas bantuan kepada lebih ramai pengamal media yang memerlukan.

Setakat semalam, sebanyak 886 pengamal media di seluruh negara telah menerima manfaat inisiatif tersebut sejak diperkenalkan pada April 2023, membabitkan peruntukan sumbangan terkumpul sebanyak RM2,612,790. - Bernama