Perodua Ativa dihempap pokok tumbang

Iklan
Pasukan bomba dan MBPP sedang menjalankan kerja menyelamat.

GEORGE TOWN – Sebuah kereta jenis Perodua Ativa rosak selepas dihempap sebatang pokok yang tumbang dalam kejadian di Taman Kampar di sini pada petang Selasa.

Bagaimanapun, tiada mangsa dilaporkan cedera kerana pemilik kenderaan tidak berada di dalam kereta ketika insiden berlaku.

Iklan
Iklan

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 6.29 petang sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Perak digerakkan ke lokasi.

Menurutnya, jentera bomba tiba di lokasi kira-kira tiga minit kemudian dengan jarak perjalanan sejauh 2 kilometer.

Iklan

Sebuah Perodua Ativa rosak selepas dihempap sebatang pokok.

“Ketika kejadian, pemilik kenderaan iaitu wanita yang berusia 29 tahun tidak berada di dalam kereta dan tiada mangsa lain dilaporkan terlibat,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Iklan

Beliau berkata, komander operasi telah melakukan penilaian awal keadaan sebelum mengarahkan Pasukan Keluaran Operasi (PKO) yang lengkap dengan peralatan perlindungan diri (PPE) menjalankan kerja-kerja pemotongan dan pembersihan pokok tumbang tersebut.

“Kerja-kerja pemotongan dan pembersihan berjaya diselesaikan sepenuhnya pada jam 7.35 malam.

“Selepas pemeriksaan dilakukan dan didapati tiada lagi sebarang bahaya di lokasi, tindakan selanjutnya diserahkan kepada Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) yang turut hadir di tempat kejadian,” ujarnya.

Tambah John, operasi yang melibatkan tujuh anggota termasuk penyelia bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) ditamatkan sepenuhnya pada jam 7.38 malam.

"Turut berada di lokasi bagi membantu operasi ialah MBPP dan Tenaga Nasional Berhad (TNB)," katanya lagi.