Dua tokoh industri haji Indonesia ditahan dalam skandal kuota haji

Iklan
Asrul Azis Taba (tengah memegang tongkat) dan Ismail Adham, diiringi pegawai KPK ketika dibawa keluar dari ibu pejabat suruhanjaya itu di Jakarta pada 8 Jun 2026. Foto: Antara

JAKARTA – Suruhanjaya Pembanterasan Rasuah Indonesia (KPK) pada Isnin menahan dua tokoh berpengaruh dalam industri pelancongan haji dan umrah berhubung siasatan kes rasuah membabitkan dakwaan penyalahgunaan kuota tambahan haji yang diberikan Arab Saudi kepada Indonesia.

Kedua-dua suspek ialah Pesuruhjaya syarikat pelancongan haji Raudah Eksati Utama merangkap Pengerusi Persatuan Penyelenggara Haji dan Umrah Indonesia (Kesthuri), Asrul Azis Taba, serta Pengarah Operasi Maktour, Ismail Adham.

Iklan
Iklan

Mereka yang telah dinamakan sebagai suspek pada 30 Mac lalu dibawa keluar dari ibu pejabat KPK di Jakarta pada lewat petang Isnin dengan memakai rompi tahanan berwarna oren dan bergari sebelum dibawa ke pusat tahanan.

Asrul dilihat berjalan menggunakan tongkat, manakala Ismail kelihatan sebak dan mengesat air mata.

Iklan

Kedua-duanya bagaimanapun enggan memberikan sebarang kenyataan kepada media.

KPK sebelum ini memaklumkan pihaknya memiliki bukti bahawa beberapa agensi pelancongan memperoleh keuntungan secara tidak sah menerusi pengagihan kuota tambahan haji yang disalurkan melalui Kementerian Agama.

Iklan

Menurut penyiasat, sekurang-kurangnya lapan agensi pelancongan yang mempunyai kaitan dengan Kesthuri memperoleh keuntungan haram berjumlah 40.8 bilion rupiah ( RM9.2 juta) sepanjang musim haji 2024.

Kontroversi itu berpunca daripada kuota tambahan sebanyak 20,000 jemaah yang diberikan Arab Saudi kepada Indonesia pada 2024.

Ketika itu, Menteri Agama Indonesia, Yaqut Cholil Qoumas, mengagihkan kuota tambahan tersebut secara sama rata antara program haji biasa yang dikendalikan kerajaan dan program haji khas yang diuruskan syarikat swasta.

Bagaimanapun, KPK mendakwa langkah itu melanggar Undang-Undang Pentadbiran Haji Indonesia yang menetapkan 92 peratus kuota perlu diperuntukkan kepada jemaah haji biasa, manakala hanya lapan peratus diberikan kepada pengendali haji khas.

Penyiasat mengesyaki pengagihan semula kuota itu didorong kepentingan kewangan dan menganggarkan kerugian negara mencecah 622 bilion rupiah (RM140 juta).

Yaqut turut didakwa menerima bayaran daripada syarikat pelancongan haji sebagai balasan untuk memberikan bahagian lebih besar kuota tambahan kepada pengendali swasta, namun beliau menafikan dakwaan tersebut.

Kes berprofil tinggi itu mendapat perhatian meluas memandangkan Indonesia merupakan negara dengan penduduk Islam terbesar di dunia dan menerima kuota haji tahunan sekitar 210,000 jemaah daripada Arab Saudi.

Dengan jutaan rakyat masih menunggu giliran menunaikan ibadah haji, tempoh menunggu di beberapa wilayah boleh melebihi 15 hingga 20 tahun, menjadikan sebarang kuota tambahan amat bernilai dan menjadi rebutan dalam kalangan pengendali pelancongan haji.-Agensi