TEHERAN – Ketegangan di Asia Barat terus memuncak pada Isnin selepas Israel dan Iran saling berbalas serangan buat pertama kali sejak gencatan senjata yang goyah berkuat kuasa pada April lalu.
Situasi di rantau itu kembali meruncing selepas rejim Tel Aviv tidak mengendahkan desakan sekutu kuatnya, Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump supaya tidak bertindak balas terhadap Teheran.
Perkembangan itu turut menjerumuskan beberapa negara Teluk ke dalam konflik yang telah berlarutan selama 100 hari.
Israel bertindak membedil Iran selepas Teheran melancarkan serangan udara sebagai respons tegas terhadap hujan peluru bertubi-tubi ke atas pinggir selatan Beirut yang menjadi kubu kuat pejuang Hizbullah.
Iran pula menggempur Tel Aviv selepas rejim Zionis tidak menghiraukan amaran yang dikeluarkan oleh Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) supaya menghentikan kempen pencerobohan ke atas Lubnan sejak minggu lalu.
Setakat ini, tiada kematian dilaporkan di kedua-dua belah pihak.
Antara lokasi yang menjadi sasaran rejim Zionis ialah sebuah kompleks petrokimia di Teheran.
IRGC pula membedil pangkalan udara Nevatim dan Tel Nof di Israel sebagai tindak balas terhadap serangan peluru berpandu musuh.
Tindakan Israel yang terus mengeruhkan konflik di Asia Barat berpotensi menggagalkan usaha diplomatik antara Iran dan AS yang masih gagal mencapai kesepakatan.
Teheran dalam satu kenyataan menyalahkan Washington atas tercetusnya semula pertempuran ganas tersebut yang berisiko menggugat proses damai yang sedang diusahakan Pakistan.
“Tiada siapa yang percaya rejim Zionis akan melakukan serangan provokasi ini tanpa penyelarasan dan kerjasama terlebih dahulu dengan sekutu kuat mereka,” tegas jurucakap Kementerian Luar Iran, Esmaeil Baqaei. – AFP