BELGRADE - Aleksandar Vucic mengakui kekalahan kepada gerakan pimpinan mahasiswa dalam pilihan raya bersejarah, sekali gus menamatkan penguasaannya selama lebih sedekad dan membuka lembaran baharu dalam landskap politik Serbia.
Keputusan beliau mahu mengadakan pilihan raya mengejut pada September selepas hampir dua tahun berdepan demonstrasi pimpinan mahasiswa yang membantah dakwaan rasuah dan penindasan pemerintah akhirnya memakan diri apabila nasib tidak menyebelahinya.
Sejurus selepas pengumuman itu, jalan utama sekitar di Belgrade dibanjiri orang ramai yang meraikan kemenangan mengejut berkenaan sambil membunyikan hon kenderaan dan melaungkan slogan atas kejatuhan Vuvic.
Kemenangan mahasiswa itu menandakan perubahan besar dalam politik di negara Balkan tersebut yang berpopulasi kira-kira enam juta penduduk itu malah ia mengimbau semula kekalahan bekas Perdana Menteri Hungary, Viktor Orban pada April lalu.
Perkembangan itu juga berpotensi menjadi contoh kepada gerakan mahasiswa lain di seluruh Eropah termasuk Perancis yang melancarkan protes sejak beberapa minggu lalu bagi membantah mutu pendidikan yang rendah.
Menurut keputusan awal yang diumumkan Vucic, calon yang disokong mahasiswa dijangka memperoleh antara 135 hingga 140 daripada 250 kerusi Parlimen manakala Parti Progresif Serbia (SNS) pimpinannya meraih 105 kerusi.
Bagaimanapun, hala tuju gerakan mahasiswa diterajui pakar kardiologi, Ilija Srdanovic itu masih belum jelas.
Senarai calon terdiri daripada 250 individu yang kebanyakannya tidak dikenali itu merangkumi profesor universiti, pelakon dan petani.
Persoalan turut timbul mengenai siapa yang bakal dilantik sebagai Perdana Menteri dan bertanggungjawab melaksanakan agenda domestik mahasiswa termasuk membanteras rasuah serta meningkatkan mutu pendidikan.
Penganalisis politik menjangkakan rombakan besar-besaran yang berpotensi menjejaskan kedudukan sekutu Vucic dalam pasukan polis, agensi keselamatan dan kementerian kerajaan.
Tinjauan pengundi dan suruhanjaya pilihan raya mendapati kadar keluar mengundi hampir 70 peratus yang merupakan angka tertinggi sejak perpecahan Yugoslavia pada 1992. - Agensi
INFO
>Vucic yang berhaluan populis dan nasionalis menguasai landskap politik Serbia sejak 2014. Beliau juga pernah memegang jawatan Perdana Menteri.
>Bantahan di Belgrade itu tercetus susulan tragedi runtuhan kanopi konkrit di stesen kereta api Novi Sad pada 1 November 2024 yang mengorbankan 16 nyawa hingga mencetuskan kemarahan rakyat terhadap dakwaan rasuah dan kecuaian pihak berkuasa.