SANAA - Pejuang Huthi yang berpusat di Yemen pada Isnin mengumumkan pelaksanaan semula sekatan maritim ke atas Israel dengan menutup laluan strategik Bab el-Mandeb kepada kapal-kapal rejim Tel Aviv.
Jurucakapnya, Yahya Saree berkata, kumpulan disokong Iran itu menguatkuasakan larangan sepenuhnya di Laut Merah dan menganggap mana-mana kapal Israel sebagai sasaran ketenteraan.
Iklan
Iklan
"Larangan ke atas navigasi musuh di perairan tersebut berkuat kuasa serta-merta," ujarnya.
Selat Bab el-Mandeb yang menghubungkan Laut Merah dengan Teluk Aden merupakan antara laluan perkapalan paling sibuk di dunia dan laluan penting bagi kapal yang berulang-alik ke dan dari Terusan Suez.
Saree turut mengaku bertanggungjawab terhadap pelancaran peluru berpandu ke arah Israel.
Menurutnya, Huthi telah menyerang 'sasaran sensitif' milik musuh Israel di Tel Aviv.
Terdahulu, siren amaran serangan udara dibunyikan di seluruh wilayah tengah Israel selepas Pasukan Pertahanan Israel (IDF) mendakwa berjaya memintas peluru berpandu yang dilancarkan dari Yemen. - Agensi