Rehlah eratkan silaturahim jemaah Masjid Al-Muqarrabi

Iklan
Seramai 44 peserta terdiri daripada jemaah Kelas Iqra’, Fardu Ain dan komuniti Masjid Al-Muqarrabi Banir Belikong bersiap-sedia untuk memulakan Program Rehlah ke Pulau Sri Tanjung, Tumpat Program Rehlah ke Pulau Sri Tanjung, Tumpat pada Sabtu.

PASIR PUTEH - Seramai 44 peserta terdiri daripada jemaah Kelas Iqra’, Fardu Ain dan komuniti Masjid Al-Muqarrabi Banir Belikong menyertai Program Rehlah ke Pulau Sri Tanjung, Tumpat dalam usaha memperkukuhkan ukhuwah, mengeratkan silaturahim serta memupuk semangat kekeluargaan dalam kalangan penduduk Mukim Banir Belikong.

Penyelaras Kelas Iqra’ dan mantan Ahli Jawatankuasa Masjid Al-Muqarrabi, Wan Azizah Wan Salleh berkata, program tersebut melibatkan sebuah bas serta beberapa kenderaan persendirian dengan setiap peserta dikenakan bayaran sebanyak RM35 seorang termasuk kos makanan sepanjang lawatan.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, program rehlah seumpama itu bukanlah sesuatu yang baharu kerana sebelum ini pihak masjid pernah menganjurkan lawatan ke Jeram Mengaji, Lata Kolam dan La Hot Spring.

Selain menjadi platform rekreasi, katanya, program tersebut turut dipenuhi pelbagai aktiviti sukaneka seperti pertandingan tarik tali, tiup belon dan bowling yang bertujuan mengukuhkan hubungan sesama peserta.

Iklan

Fara Haryanti Mat Zain dan Kumpulan Yasin Fadilat Al-Muqarrabi dalam kenduri kesyukuran bagi meraikan kejayaan anaknya, Nor Qalish Aqiff Norazlan, yang berjaya muncul johan kategori sekolah rendah dalam Musabaqah Tilawah Al-Quran MADANI Peringkat Daerah Pasir Puteh 2026.

“Di masjid juga kami sentiasa mengadakan pelbagai aktiviti seperti pertandingan nasyid, pertandingan azan kanak-kanak, sambutan Maulidur Rasul dan pelbagai program lain untuk mengimarahkan masjid serta mendekatkan masyarakat dengan institusi masjid,” katanya pada Sabtu.

Iklan

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Imam Tua Masjid Al-Muqarrabi, Zakwan Zuhaimi, yang sentiasa memberi komitmen tinggi dalam menjayakan aktiviti masjid dan turut menyertai program tersebut bersama isterinya, Fairus Hazwani Azman.

Sementara itu, ahli kelas, Fara Haryanti Mat Zain berkata, Masjid Al-Muqarrabi sememangnya aktif melaksanakan pelbagai program pendidikan agama dan kemasyarakatan.

Antaranya kata beliau, ialah Kelas Pengajian Iqra’ yang diadakan setiap Jumaat dan Sabtu melibatkan pelajar sekolah rendah dan menengah sekitar Bukit Jawa selain golongan dewasa dan warga emas.

"Kumpulan Yasin Fadilat Al-Muqarrabi membabitkan golongan wanita pula pada awalnya hanya disertai tujuh hingga lapan orang jemaah kini berkembang sehingga menghimpunkan hampir 40 ahli aktif," katanya.

Kumpulan itu bukan sahaja mengadakan bacaan Yasin dan Fadilat Yasin setiap Jumaat selepas kuliah Subuh, malah turut menganjurkan pelbagai aktiviti kebajikan seperti senaman warga emas, lawatan kepada penduduk yang uzur atau ditimpa musibah serta pengurusan tabung kebajikan untuk membantu ahli yang memerlukan.

Rombongan bertolak dari Masjid Al-Muqarrabi seawal jam 8 pagi selepas sesi taklimat dan bacaan doa musafir sebelum menuju ke Jeti Kampung Pulau Pisang dan menaiki bot ke Pulau Sri Tanjung.

Sepanjang berada di pulau tersebut, para peserta menyertai pelbagai aktiviti riadah dan permainan berkumpulan yang berjaya menceriakan suasana serta mengukuhkan semangat kerjasama dan persaudaraan dalam kalangan peserta.

Selepas tamat aktiviti, rombongan meneruskan perjalanan ke Medan Ikan Bakar Kedai Buloh dan Kilang Keropok Cap Kapal sebelum menunaikan solat di Masjid Kedai Buloh.

Antara aktiviti dalam Program Rehlah yang mengeratkan lagi silaturahim.

Program diteruskan dengan lawatan ke Kilang Batik di Jalan Pantai Cahaya Bulan dan kunjungan ke Pantai Cahaya Bulan (PCB), di mana peserta menikmati pelbagai juadah serta makanan laut sebelum bertolak pulang pada sebelah petang.

Sehari sebelum program rehlah tersebut, komuniti Banir Belikong turut mengadakan kenduri kesyukuran bagi meraikan kejayaan Nor Qalish Aqiff Norazlan, salah seorang pelajar Kelas Iqra’ Masjid Al-Muqarrabi yang merupakan anak bongsu Fara Haryanti yang berjaya muncul johan kategori sekolah rendah dalam Musabaqah Tilawah Al-Quran MADANI Peringkat Daerah Pasir Puteh 2026.

Nor Qalish Aqiff, yang dibimbing dalam pengajian al-Quran melalui kelas di Masjid Al-Muqarrabi serta oleh ibu saudaranya, Noraini Mat Zain, seorang suri rumah yang juga aktif dalam kelas tersebut, berjaya membawa pulang wang tunai RM1,500 berserta sijil penghargaan hasil ketekunan dan kesungguhannya mendalami ilmu al-Quran serta memperelokkan bacaan dan tajwid.

Program rehlah ini membuktikan bahawa Masjid Al-Muqarrabi Banir Belikong bukan sekadar berfungsi sebagai tempat ibadah, malah menjadi pusat pembangunan komuniti yang menyatukan masyarakat melalui pendidikan agama, aktiviti kebajikan dan program kemasyarakatan yang berterusan.

Kejayaan melahirkan pelajar cemerlang seperti Nor Qalish Aqiff serta penglibatan aktif pelbagai lapisan masyarakat dalam program rehlah dan kebajikan menunjukkan bahawa institusi masjid masih memainkan peranan penting dalam membentuk masyarakat yang bersatu padu, berilmu dan berakhlak mulia.

Program seperti ini wajar diteruskan sebagai medium memperkukuhkan ukhuwah, memupuk semangat gotong-royong dan memastikan masjid terus menjadi nadi kehidupan masyarakat setempat.