Fosil pelik dedah dinosaur ‘meluncur’ buru burung 120 juta tahun lalu

Iklan
Fosil microraptor ini hanya terdiri daripada beberapa tulang, namun ia kekal terpelihara dalam keadaan tiga dimensi (3D). Foto CNN

BEIJING - Penemuan fosil berusia 120 juta tahun di Lembangan Changma, wilayah Gansu, barat laut China berjaya mengubah pemahaman ahli sains terhadap kumpulan dinosaur pemangsa microraptor yang mampu meluncur di udara.

Laporan CNN menyebut fosil daripada spesies baharu yang dinamakan Jian changmaensis itu merupakan spesimen microraptor paling baharu direkodkan, sekali gus memanjangkan garis masa kewujudan reptilia berbulu pelepah berkenaan dalam sejarah evolusi.

Iklan
Iklan

Penemuan itu juga penting kerana ia adalah satu-satunya spesimen microraptor yang ditemui di luar kawasan timur laut China.

Pengkaji bersama dari Muzium Sejarah Semulajadi Carnegie, Dr Matt Lamanna berkata, penemuan berkenaan memberikan maklumat penting mengenai ekologi nenek moyang burung moden.

Iklan

“Pasukan kami menemui lebih 100 fosil burung di Changma, tetapi ini satu-satunya spesimen dinosaur bukan burung.

“Jian memberikan maklumat kritikal ekologi nenek moyang burung hari ini,” ujarnya kepada CNN.

Iklan

Fosil microraptor ini hanya terdiri daripada beberapa tulang, namun ia kekal terpelihara dalam keadaan tiga dimensi (3D). Foto CNN

Menurut penyelidik, Jian changmaensis bersaiz seperti burung hantu dan mempunyai tubuh yang dilitupi bulu pelepah tebal termasuk pada kaki belakangnya.

Ciri itu menjadikannya kelihatan seolah-olah mempunyai empat sayap yang membolehkannya meluncur dari pokok ke pokok, sama seperti tupai terbang.

Pengesahan bahawa fosil itu mewakili spesies baharu dibuat berdasarkan kewujudan lubang besar pada struktur tulang bahunya yang dikenali sebagai supracoracoid fenestra.

Berbeza dengan kebanyakan fosil lain yang lazimnya ditemui dalam keadaan penyek, fosil sayap Jian ditemui dalam keadaan utuh dengan bentuk tiga dimensi (3D).

Penyelidik percaya haiwan itu hidup di kawasan kanopi hutan berhampiran tasik purba bagi mengelakkan ancaman pemangsa darat yang lebih besar.

Berdasarkan bukti yang ditemui, Jian dipercayai memburu burung purba seperti Gansus yumenensis sebagai sumber makanan utamanya.

Penyelidik kini merancang untuk melakukan imbasan lanjut terhadap fosil sayap berkenaan bagi mengkaji dengan lebih mendalam evolusi serta keupayaan penerbangan microraptor.