Ejen bank rugi RM5,500 selepas ditipu wanita pinjam telefon bimbit

Iklan
Ejen bank mengalami kerugian selepas ditipu seorang wanita.

BANYUWANGI – Seorang pekerja ejen bank mengalami kerugian kira-kira19 juta rupiah (RM5,500) selepas diperdaya seorang wanita yang menggunakan taktik meminjam telefon bimbit sebelum dipercayai menggodam akaun WhatsApp rakan sekerjanya.

Kejadian berlaku kira-kira jam 1.45 petang pada Isnin di sebuah kios BRILink di Desa Tulungrejo, Glenmore, Jawa Timur.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Glenmore, AKP Budi Hermawan berkata, suspek yang merupakan seorang wanita tidak dikenali dirakam kamera litar tertutup (CCTV) memakai pakaian serba hitam ketika berada di premis berkenaan.

Menurutnya, suspek pada awalnya datang ke kios tersebut untuk melakukan transaksi pengeluaran wang tunai sebelum memaklumkan mahu membuat pemindahan wang melalui Bank Jatim.

Iklan

"Suspek meminta nombor akaun penerima selain Bank BRI dengan alasan proses pemindahan antara bank boleh mengambil masa sehingga 24 jam.

"Tanpa berasa curiga, pekerja kios berkenaan menghubungi pemilik premis untuk mendapatkan nombor akaun bank lain sebelum diberikan nombor akaun Bank BNI kepada suspek," katanya dalam kenyataan.

Iklan

Beliau berkata, suspek kemudian mendakwa telefon bimbitnya mengalami masalah dan meminta meminjam telefon milik pekerja terbabit untuk menghubungi suaminya bagi urusan pemindahan wang.

"Telefon bimbit mangsa dipinjam kira-kira lima minit sebelum dipulangkan semula. Suspek turut menunjukkan gambar bukti transaksi dan memaklumkan wang sebanyak Rp19 juta telah dipindahkan," katanya.

Bagi mendapatkan kepastian, mangsa menghantar mesej melalui WhatsApp kepada seorang rakan sekerja yang dipercayai pemilik akaun penerima.

Selepas menerima balasan bahawa wang tersebut telah masuk ke akaun, mangsa menyerahkan wang tunai Rp19 juta kepada suspek.

"Suspek kemudian terus meninggalkan premis berkenaan sejurus menerima wang tersebut," ujarnya.

Bagaimanapun, tidak lama selepas kejadian, pemilik kios menghubungi mangsa dan memaklumkan bahawa wang berkenaan sebenarnya masih belum diterima.

Hasil semakan mendapati akaun WhatsApp rakan sekerja mangsa dipercayai telah digodam oleh suspek, menyebabkan mangsa menerima maklumat palsu mengenai transaksi tersebut.

"Mangsa hanya menyedari dirinya ditipu selepas mengetahui akaun WhatsApp berkenaan telah diceroboh," katanya.

Menurut Budi, polis telah menjalankan siasatan di lokasi kejadian, merakam keterangan saksi serta mengumpul rakaman CCTV sebagai bahan bukti.

"Usaha mengesan dan mengenal pasti suspek sedang giat dijalankan bagi membantu siasatan lanjut," ujarnya.