[LAPORAN KHAS] Dugaan paling besar peniaga ayam golek

Iklan
Lebih 200 ekor ayam golek madu Bunohan mampu dijual setiap hari oleh seorang peniaga di Bukit Rangin, Kuantan pada bulan Ramadan.Gambar kecil:Muhammad Hisyam Othman.

SHAH ALAM - Secara tradisinya, ayam golek adalah antara menu popular yang menjadi pilihan pengguna untuk juadah berbuka puasa.

Di Kuantan, Pahang, Ayam Golek Madu Bunohan yang memiliki lima cawangan di daerah itu boleh dikatakan sebagai ayam golek popular dalam kalangan penggemarnya.

Malah pada bulan Ramadan tahun lalu, setiap cawangan dapat menjual secara purata sebanyak 200 ekor ayam sehari pada harga RM21 seekor.

Namun, bagi Muhammad Hisyam Othman, 28, yang mengusahakan ayam golek jenama berkenaan di Bukit Rangin dapat merasakan pendapatannya pada bulan Ramadan tahun ini akan berkurangan.

Kegusaran disuarakan oleh pemuda itu selepas kerajaan Pahang membatalkan semua penganjuran bazar Ramadan di negeri itu pada tahun ini kerana negara berdepan dengan ancaman virus, Covid-19.

"Sedih, kecewa semuanya ada. Saya dapat bayangkan pendapatan saya pada bulan Ramadan nanti akan berkurangan. Tahun lalu, secara purata saya dapat menjual 200 hingga 300 ekor ayam sehari. Untung bersih yang saya peroleh lebih kurang RM1,000.

"Tahun ini saya tetap berniaga tetapi jumlah ayam mungkin dikurangkan. Saya terpaksa hadapinya sebab ini adalah dugaan paling besar buat semua peniaga pada bulan Ramadan tahun ini,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Enggan mengalah begitu sahaja, Muhammad Hisyam sudah mempunyai perancangan rapi untuk memasarkan produk jualannya bermula 24 April ini. Katanya, setiap cawangan akan menggunakan khidmat penghantar makanan buat pelanggan yang membuat pesanan melalui pelbagai medium yang disediakan.

"Kami akan mempromosikan jualan kami di Facebook (Ayam Golek Madu Bunohan) dan aplikasi WhatsApp. Harga mungkin sama, cuma ada kos penghantaran dikenakan. Itu sahaja yang mampu kami lakukan,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN Potensi besar bazar Ramadan di hujung jari

Cadang food truck ganti bazar Ramadan