[VIDEO] Langgar hingga melambung: 'Lebih baik saya mati kalau tiada papa' - Anak sulung mangsa

Iklan

KLANG – “Lebih baik saya mati kalau tiada papa.”

Demikian luahan menyayat hati Muhammad Aqif Amsyar yang masih bergelut menerima hakikat kehilangan bapanya, Allahyarham Amirul Hafiz Omar, 33, yang maut dalam kemalangan tragis di Jalan Raya Barat di sini pada hujung Mac lalu.

Iklan
Iklan

Balu mangsa, Nor Nadia Abdul Majid, 32, berkata, anak sulungnya yang berusia sembilan tahun itu sering meluahkan rasa tidak bahagia sejak pemergian bapanya selepas motosikal yang ditunggang arwah dirempuh sebuah kereta dipandu lelaki dipercayai di bawah pengaruh dadah.

Nor Nadia Abdul Majid

Iklan

Katanya, Aqif juga kerap membandingkan kehidupan mereka sebelum dan selepas kemalangan berkenaan.

“Anak cakap sekarang dia tidak bahagia, pernah juga dia beritahu lebih baik dia mati kalau tiada papa.

Iklan

“Sebagai ibu, saya memang terkejut dan sedih mendengarnya,” katanya ketika ditemui di luar Mahkamah Majistret di sini pada Rabu.

Nor Nadia berkata, antara perkara yang paling sukar dijawab ialah apabila Aqif bertanya mengenai punca sebenar kematian arwah.

Suri rumah itu berkata, anaknya pernah bertanya, “Papa meninggal sebab dilanggar pemandu kereta, tapi papa keluar beli buku untuk abang, jadi salah siapa?” katanya.

Insiden terbaru membabitkan Amirul Hafiz Omar maut selepas motosikal ditunggangnya dirempuh sebuah kereta dipandu lelaki dalam keadaan mabuk serta bawah pengaruh dadah di Jalan Raya Barat, Klang.

Beliau berkata, emosi Aqif masih belum stabil namun kanak-kanak itu tetap berusaha meneruskan kehidupan serta hadir ke sekolah seperti biasa.

Katanya, pihak kaunselor ada menghubungi keluarga bagi membantu mereka menghadapi trauma, tetapi sesi bersama anak-anak belum dijalankan kerana kekangan waktu persekolahan.

Sementara itu, Nor Nadia berkata, anak keduanya, Muhammad Aliff Izz Rayqal, 7, pula masih dalam proses untuk memahami erti sebenar kehilangan bapanya.

Menurutnya, kanak-kanak itu kadangkala mengemukakan pelbagai soalan termasuk bertanya sama ada dia perlu membayar untuk bertemu semula dengan arwah bapanya.

“Mereka masih dibayangi kehadiran arwah sehingga hari ini,” katanya selepas mengikuti prosiding sebutan semula kes bunuh dan dadah membabitkan seorang pembantu makmal yang didakwa menyebabkan kematian suaminya dalam kemalangan yang tular di media sosial itu.

Mengikut pertuduhan, R Saktygaanapathy, 28, didakwa membunuh Amirul Hafiz dalam kemalangan di lokasi kejadian, jam 11.47 pagi pada 29 Mac lalu.

Saktygaanapathy menukar pengakuan kepada tidak bersalah bagi kes dadah, di Mahkamah Majistret Klang pada Rabu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun dan jika tidak dijatuhi hukuman gantung, hendaklah disebat tidak kurang 12 kali, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan pindaan kedua, dia didakwa memberikan dirinya dadah disyaki jenis 11-Nor-Delta-9-Tetrahydrocannabinol-9-Carboxylic Acid ke dalam badan, di Pejabat Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan di sini, jam 3.30 petang pada tarikh sama.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun, jika sabit kesalahan.

Pada Mac lalu, kemalangan berkenaan tular di media sosial, memaparkan Amirul Hafiz melambung selepas dirempuh kereta dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan.

Akibat pelanggaran itu, lelaki tempatan itu tercampak ke atas sebuah Perodua Myvi sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.