HANGZHOU – Seorang wanita nyaris maut selepas lehernya terjerut tali pancing ketika menunggang basikal elektrik di sebuah jambatan di Hangzhou, wilayah Zhejiang, China pada 23 Mei lalu.
Mangsa yang hanya dikenali sebagai Wang berkata, kejadian berlaku ketika dia dan rakannya dalam perjalanan untuk menikmati makanan lewat malam.
Menurutnya, mereka sedang melalui laluan khas kenderaan tidak bermotor di Jambatan Fuxing sebelum seutas tali pancing secara tiba-tiba melilit lehernya.
“Saya benar-benar trauma. Tali itu tepat mengenai bahagian kerongkong saya,” katanya menerusi hantaran di media sosial.
Wang berkata, kejadian berlaku begitu pantas sehingga dia tidak sempat memberhentikan basikal yang ditunggangnya.
Menurutnya, tali berkenaan semakin menjerut leher ketika basikal masih bergerak, sekali gus mendedahkannya kepada risiko kecederaan serius.
“Kami berhenti dan mengambil masa agak lama untuk bertenang.
“Tali itu tepat melilit kerongkong saya. Saya sangat bernasib baik kerana kulit saya tidak terkoyak,” katanya.
Wang mendakwa terdapat sekurang-kurangnya 20 pemancing berada di platform tinjauan serta kawasan berhampiran laluan basikal elektrik ketika kejadian berlaku.
Susulan insiden itu, pihak berkuasa tempatan dilaporkan menjalankan rondaan dan menasihati pemancing supaya menghentikan aktiviti memancing di kawasan berkenaan.