Henti heret netizen dalam konflik peribadi

Iklan
Konflik rumah tangga, keluarga, perniagaan, hutang dan pelbagai isu bersifat peribadi kini menjadi tontonan umum apabila dikongsi secara terbuka. Foto janaan AI

BUDAYA menjadikan media sosial tempat meluah masalah peribadi dilihat semakin membimbangkan apabila ramai pelayar sanggup membuka aib mendedahkan masalah peribadi demi perhatian dan sokongan warga maya.

Lebih memburukkan keadaan, konflik rumah tangga, keluarga, perniagaan, hutang dan pelbagai isu bersifat peribadi kini menjadi tontonan umum apabila dikongsi secara terbuka.

Iklan
Iklan

Tindakan individu 'lapar perhatian' ini bukan sahaja mengundang spekulasi, malah mengheret netizen campur tangan dalam urusan yang sepatutnya diselesaikan secara tertutup.

Keadaan ini berlaku mungkin kerana ramai pelayar merasakan mereka lebih ‘didengari’ apabila meluahkan masalah di media sosial berbanding berbincang secara matang.

Iklan

Tanpa disedari atau memang disengajakan, isu peribadi didedahkan secara terbuka mendorong netizen membuat penilaian sendiri tanpa mengetahui cerita sebenar.

Menurut Pakar Perunding Kanan Psikiatri Universiti Malaya (UM), Prof Madya Dr Muhammad Muhsin Ahmad Zahari, baru-baru ini, akses tanpa sempadan kepada maklumat menjadikan masyarakat terlalu cepat membuat penilaian tanpa memahami konteks sebenar.

Iklan

Beliau berkata, masyarakat bukan sahaja menjadi pemerhati, tetapi 'hakim' tidak rasmi dengan menilai sesuatu perkara itu secara reaktif dan beremosi, bukan berasaskan fakta.

Sebagai pengguna media sosial tegar (urusan kerja), penulis bersetuju kerana dalam pemerhatian, netizen dilihat mudah terpengaruh sehingga ada sanggup menghina, mengecam dan menjatuhkan maruah individu tertentu.

Dalam masalah keluarga atau rumah tangga misalnya, perbuatan membuka aib pasangan atau keluarga secara terbuka bertentangan tuntutan agama yang mengajar supaya menjaga maruah dan kehormatan.

Dalam perkara ini, Mufti Wilayah Persekutuan, Ahmad Fauwaz Fadzil pernah menjelaskan, sikap mendedahkan masalah rumah tangga di media sosial adalah haram kerana ia membuka aib dan menjejaskan maruah pasangan serta bertentangan dengan ajaran Islam.

Jelasnya, Islam hanya membenarkan pendedahan dalam keadaan tertentu iaitu secara tertutup kepada pihak berautoriti seperti mahkamah atau pejabat agama bagi tujuan mendapatkan keadilan dan menyelesaikan kezaliman.

Tegasnya, penggunaan media sosial perlu dikawal secara beretika agar tidak menjadi ruang mendedahkan aib atau pertikaian rumah tangga.

Berdasarkan pemerhatian penulis, ada pihak sengaja menggunakan media sosial sebagai medan peribadi memburukkan dan menyerang pihak lain.

Tidak perlu penulis dedahkan satu persatu dan dikesalkan, isu peribadi ini disajikan tanpa tapisan melalui video 'live' beremosi untuk menyerang dengan taburan kata-kata kesat.

Netizen yang terpancing emosi 'tumpang sekaki' memanaskan keadaan sambil mengumpul dosa tanpa berfikir kemungkinan luahan dilontar benar atau fitnah.

Perlu diingatkan, kesalahan mengaibkan individu di platform digital tertakluk di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Netizen 'batu api' turut tidak terlepas dan boleh disaman bersama pemuat naik asal di mahkamah.

Sebab itu pengguna media sosial perlu belajar menghormati privasi orang lain dan tidak terlalu cepat membuat andaian atau menyebarkan sesuatu isu tanpa mengetahui kesahihan sebenar.

*Nik Amirulmumin Nik Min ialah wartawan Sinar Harian Pahang