Suntikan rohani untuk petugas barisan hadapan

Iklan
Iskandar (dua dari kanan) dan pegawainya menerima 200 al-Quran wakaf daripada Hashim (tiga dari kanan) di PPUM Kuala Lumpur di sini hari ini. -FOTO: ASRIL ASWANDI SHUKOR

KUALA LUMPUR - Al-Quran yang diedarkan kepada petugas barisan hadapan menerusi inisiatif #QuranCorner@Hospital di bawah Program Wakaf Quran Mu'Jam memberi suntikan kerohanian kepada petugas kesihatan yang kebanyakannya mungkin bertugas di bawah tekanan ketika ini.

Timbalan Pengarah (Pengurusan) Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Iskandar Ahmad berkata, agihan al-Quran melalui program yang digerakkan Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Kumpulan Karangkraf Sdn Bhd itu menaikkan semangat petugas barisan hadapan.

Iklan
Iklan

"Buat pertama kalinya kami terima sumbangan dalam bentuk al-Quran kerana sebelum ini sumbangan yang banyak diterima adalah dalam bentuk bekalan makanan dan barangan keperluan barisan hadapan.

"Inisiatif ini wajar dicontohi pihak-pihak lain kerana keperluan menghadapi stres bukan sahaja dalam bentuk material, sebaliknya pengisian kerohanian juga menjadi keutamaan," katanya selepas menerima sumbangan al-Quran wakaf di PPUM di sini semalam.

Iklan
Sebanyak 680 al-Quran wakaf diserahkan Pengurus Kanan Tugas-Tugas Khas Kumpulan Karangkraf, Hashim Anang kepada tiga penerima iaitu sebanyak 200 naskhah kepada PPUM dan Hospital Kuala Lumpur dan 280 kepada Jabatan Kesihatan Negeri Selangor.

Mengulas lanjut, Iskandar berkata, al-Quran yang diterima itu akan diagihkan kepada petugas barisan hadapan selain turut diletakkan di sudut bacaan hospital.

Iklan
Dr Sha'ari

Sementara itu, Pengarah Kesihatan Selangor, Datuk Dr Sha'ari Ngadiman berkata, agihan al-Quran wakaf itu akan menambahkan lagi keberkatan dalam usaha petugas barisan hadapan menangani Covid-19.

"Kita akan wujudkan sudut al-Quran di setiap fasiliti kesihatan yang ada di Selangor. Kita harap dengan usaha ini kita boleh menang dalam usaha memerangi wabak itu," katanya sejurus menerima sumbangan itu di Pejabat JKN Selangor.

Dalam perkembangan sama, Ketua Pegawai Eksekutif WUIF, Marhaini Yusoff berkata, Program Wakaf Quran Mu'Jam yang dilancarkan pada Jumaat lalu dilanjutkan sehingga 14 April depan berikutan menerima permohonan tambahan.

"Ada permohonan baharu dari pusat kuarantin untuk menambah jumlah naskhah al-Quran yang diberikan bagi menampung permintaan yang ada.

"Kita juga banyak menerima rayuan daripada orang ramai untuk memberikan peluang kepada mereka menyertai program wakaf ini," katanya.

Hashim menyerahkan sumbangan Program Wakaf Quran kepada Dr Sha'ari di JKN Selangor di sini hari ini. -FOTO: ASRIL ASWANDI SHUKOR

Katanya, dalam tempoh enam hari selepas dilancarkan, Program Wakaf Quran bukan sahaja mencapai sasaran 15,000 naskhah yang diletakkan, malahan ia melebihi jumlah yang disasarkan.

"Sehingga jam 2 petang hari ini (semalam), wakaf diterima adalah sebanyak 17,162 naskhah al-Quran," katanya.

Orang ramai yang ingin menyumbang sebagai pewakaf al-Quran boleh mendaftar di bit.ly/wakafquranhospital.

Bayaran wakaf sebanyak RM45 senaskhah boleh dibuat kepada Warisan Ummah Foundation melalui nombor akaun Maybank Islamic 564276516031 dengan rujukan Wakaf Quran.