RIYADH – Arab Saudi kini tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada Amerika Syarikat (AS) sebagai pelindung keselamatan utama, menurut seorang penganalisis politik negara itu yang membincangkan perubahan landskap kuasa global semasa.
Penganalisis, Mubarak al-Ati berkata, keadaan tersebut mencerminkan perubahan ketara dalam hubungan strategik antara Washington dan negara-negara Teluk, susulan perkembangan geopolitik yang semakin kompleks di peringkat antarabangsa.
Menurutnya, situasi berkenaan turut dipengaruhi oleh penurunan pengaruh AS di beberapa rantau dunia, sekali gus membuka ruang kepada negara kuasa pertengahan dan serantau untuk memainkan peranan lebih bebas dalam menentukan dasar luar masing-masing.
Dalam wawancara menerusi stesen televisyen Russia Today, Ati berkata, Arab Saudi kini lebih cenderung mengambil pendekatan berdikari dalam soal keselamatan dan diplomasi serantau.
Beliau turut mendakwa perubahan itu turut memberi kesan terhadap beberapa inisiatif diplomatik AS di Asia Barat, termasuk usaha memperluaskan Perjanjian Abraham yang didakwa tidak lagi dilihat sebagai agenda utama sebahagian negara rantau berkenaan.
Ati berkata, perkembangan geopolitik semasa turut mengubah keseimbangan kuasa global yang sebelum ini banyak dipengaruhi oleh Washington.
“AS masih kuasa besar, tetapi tidak seperti dahulu. Keseimbangan kuasa kini lebih bersifat multipolar,” katanya.
Beliau turut berpendapat bahawa kuasa-kuasa baharu seperti India, Brazil dan beberapa negara Teluk kini mempunyai lebih banyak ruang untuk menentukan hala tuju hubungan antarabangsa tanpa bergantung sepenuhnya kepada AS.
Dalam masa sama, Ati menegaskan Arab Saudi mengekalkan pendirian neutral dengan tidak memihak kepada mana-mana blok dalam konflik serantau, termasuk melibatkan Israel dan Iran.
Menurutnya lagi, Riyadh juga didakwa sedang memperkukuh kerjasama dengan beberapa negara Islam dan serantau bagi membentuk pendekatan diplomasi baharu yang lebih menyeluruh dalam isu keselamatan dan keamanan. - Agensi