Bekas banduan juga penyumbang ekonomi negara

Iklan
Bekas banduan sering dilihat melalui satu lensa sempit iaitu individu yang pernah melakukan kesalahan dan wajar dipinggirkan.

DALAM masyarakat, bekas banduan sering dilihat melalui satu lensa sempit iaitu individu yang pernah melakukan kesalahan dan wajar dipinggirkan.

Namun persoalan lebih besar yang perlu ditanya ialah adakah seseorang yang telah selesai menjalani hukuman harus terus dihukum oleh masyarakat?

Iklan
Iklan

Hakikatnya, setiap tahun ribuan banduan dibebaskan daripada institusi penjara seluruh negara. Mereka keluar bukan sahaja dengan harapan baharu tetapi juga dengan satu cabaran besar iaitu diterima semula oleh masyarakat.

Dalam konteks itu, peluang kedua kepada bekas banduan bukan sekadar soal belas ihsan atau nilai kemanusiaan, tetapi sebenarnya satu strategi pembangunan sosial dan ekonomi yang wajar diberi perhatian serius.

Iklan

Menurut statistik Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), lebih 2.3 juta atau 13.7 peratus daripada tenaga kerja negara terdiri daripada pekerja asing.

Ini sekali gus menunjukkan keperluan mendesak untuk memanfaatkan potensi tenaga kerja tempatan secara lebih inklusif.

Iklan

Dalam masa sama, ramai bekas banduan sebenarnya memiliki potensi besar untuk kembali menjadi tenaga kerja produktif kerana mereka bukan keluar dengan tangan kosong.

Program Pelepasan Banduan Secara Lesen (PBSL) yang dilaksanakan Jabatan Penjara antara usaha dilakukan kerajaan sebagai peluang kedua buat penghuni tirai besi ini kembali ke dalam masyarakat melalui alam pekerjaan.

Dari sudut fiskal pula, kos menempatkan seseorang di penjara bukan murah dan pada tahun 2024, kerajaan terpaksa membelanjakan hampir RM500 juta bagi menanggung keperluan seperti makanan, pengurusan, kesihatan, keselamatan serta infrastruktur.

Apabila seseorang bekas banduan berjaya dipulihkan dan tidak kembali ke penjara, negara sebenarnya menjimatkan kos operasi jangka panjang.

Inilah yang disebut oleh pakar dasar awam sebagai social return on investment atau pulangan sosial terhadap pelaburan.

Lebih menarik, Timbalan Komisioner Jeneral Penjara (Pemasyarakatan), Hafidz Othman mendedahkan sejak PBSL diperluaskan pada 2021, lebih 50,000 banduan telah diberikan pelepasan secara lesen dengan kadar kesalahan berulang kurang daripada tiga peratus.

Malah kadar kejayaan program itu amat memberangsangkan apabila lebih 90 peratus peserta PBSL kekal dalam pekerjaan masing-masing sepanjang tempoh program.

Namun cabaran terbesar bukanlah dasar kerajaan atau kekurangan program tetapi cabaran sebenar ialah stigma.

Bekas banduan tidak lagi boleh dianggap sebagai beban sebaliknya masyarakat perlu mula melihat mereka sebagai individu yang sedang membina semula hidup.

Golongan ini juga turut mendapat perhatian Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang memperkenankan untuk Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPK) bekerjasama dengan Jabatan Penjara Perak merintis usaha membantu banduan-banduan yang dibebaskan dari penjara.

Keprihatinan baginda ini menjadikan Perak berpotensi sebagai model negeri yang bukan sahaja menghukum kesalahan tetapi benar-benar memulihkan manusia.

Akhirnya, peluang kedua bukan sekadar tentang memberi maaf tetapi memberi ruang untuk seseorang membuktikan bahawa mereka mampu berubah.

Apabila seorang bekas banduan kembali bekerja, membayar cukai, menyara keluarga dan menyumbang kepada ekonomi, yang mendapat manfaat bukan hanya dirinya tetapi yang untung ialah seluruh negara.

* Saifullah Ahmad ialah wartawan Sinar Harian Perak