77 pegawai imigresen dibuang kerja sejak 2022

Iklan
Seramai 77 pegawai imigresen dibuang kerja sejak 2022 hingga kini.

KAJANG - Seramai 77 pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dibuang kerja sejak 2022 hingga kini daripada keseluruhan 994 kes tatatertib yang berjaya diselesaikan oleh agensi itu.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Zakaria Shaaban berkata, bagi tahun ini sahaja, sebanyak 23 kes tatatertib telah diselesaikan dengan lapan pegawai dikenakan tindakan punitif berkenaan dalam usaha memperkasakan integriti serta mengekang salah laku dalam kalangan warga jabatan.

Iklan
Iklan

Zakaria berkata antara salah laku yang dikesan termasuk pelanggaran prosedur operasi standard (SOP), meluluskan urusan di luar bidang kuasa, manipulasi urusan kaunter (counter setting), tidak hadir bertugas, penyalahgunaan dadah serta bersubahat membekalkan bahan terlarang kepada tahanan di depot.

Mengulas mengenai persepsi masyarakat terhadap lambakan warga asing di beberapa lokasi tumpuan, beliau menjelaskan kehadiran kumpulan itu, terutama pada cuti hujung minggu atau musim perayaan, tidak semestinya membabitkan pendatang tanpa izin.

Iklan

Beliau berkata statistik semasa menunjukkan terdapat lebih tiga juta warga asing yang memegang pas serta permit sah berada di negara ini.

Zakaria turut tidak menolak kemungkinan tindakan segelintir pencipta kandungan media sosial yang sengaja merakam video lambakan warga asing demi meraih publisiti menjadi antara faktor penularan persepsi negatif dalam kalangan masyarakat.

Iklan

Mengenai operasi penguatkuasaan, beliau berkata JIM melaksanakan 5,010 operasi di seluruh negara dengan pemeriksaan terhadap 71,734 individu termasuk warga tempatan bagi tempoh 1 Jan sehingga 25 Mei lepas.

Beliau berkata lima warga negara yang mencatat jumlah tangkapan tertinggi ialah Indonesia (5,578 orang), diikuti Bangladesh (3,533), Myanmar (2,856), Filipina (1,990) dan Pakistan (811).

Program yang diadakan hari ini menjadi wadah menzahirkan penghargaan kepada warga jabatan yang memberi sumbangan serta komitmen tinggi dalam melaksanakan tugas sebagai antara agensi barisan hadapan negara. - Bernama